Selepas bertahun kucing dan anjing derita diseksa, tamat sudah operasi pasar kejam ini. Sebuah pasar haiwan Indonesia menamatkan penjualan daging anjing dan kucing selepas bertahun-tahun menerima tekanan aktivis untuk menghentikan perdagangan haiwan berkenaan berikutan kaedah penyembelihannya yang kejam.
Daging anjing dan kucing dilaporkan sering dijual bersama kelawar, tikus, ular dan monyet di Pasar Ekstrim Tomohon di pulau Sulawesi sebelum larangan dikenakan pada Jumaat lalu.
Kumpulan hak asasi haiwan Humane Society International (HSI) dalam satu kenyataan memaklumkan, pasar berkenaan merupakan premis pertama di negara itu yang akhirnya akur untuk menghentikan perdagangan dua haiwan berkenaan.
“Perjanjian bersejarah yang akan menyelamatkan beribu-ribu haiwan daripada penderitaan diseksa, dicabut bulu hidup-hidup, dipukul dan dibakar hingga mati untuk dijadikan makanan kepada manusia,” katanya.
Indonesia kekal sebagai salah satu daripada beberapa negara di dunia yang masih membenarkan penjualan daging anjing dan kucing kerana tradisi serta budaya tempatan dengan lebih 13,000 ekor haiwan berkenaan disembelih setiap tahun.
Menurut kumpulan tersebut, enam peniaga daging anjing dan kucing di pasar tersebut menandatangani perjanjian untuk menghentikan penjualan dengan Datuk Bandar Tomohon, Caroll Senduk menguatkuasakan undang-undang larangan perdagangan masa depan terhadap dua haiwan berkenaan di pasar itu.
“Impaknya akan meluas, menutup perniagaan untuk rangkaian pengedar yang luas melibatkan pencuri anjing dan kucing serta menghentikan penyembelih kejam haiwan berkenaan.
“Kami berharap perjanjian yang tidak pernah berlaku sebelum ini akan menetapkan standard baharu yang akan menjadi ikutan kelak,” kata Pengarah Kempen HSI, Lola Webber.
Webber berkata, HSI dan kumpulan hak asasi manusia Indonesia berusaha menghentikan perdagangan haiwan berkenaan bagi membantu mencegah penyebaran virus rabies yang sudah meragut banyak nyawa.
Seorang penjual di pasar Tomohon, Elvianus Pongoh yang sudah menjalankan perniagaan lebih 25 tahun berkata, kini masa yang sangat sesuai untuk menamatkan perdagangan haiwan berkenaan.
“Saya mungkin sudah menyembelih beribu-ribu anjing. Saya mengakui dapat melihat ketakutan di mata mereka dan ia membuatkan saya berasa sedih.
“Saya tahu larangan ini adalah yang terbaik untuk haiwan ini dan juga yang terbaik untuk melindungi orang ramai,” katanya dalam kenyataan akhbar HSI.