Hati-hati! Sindikit jual buah pinggang memang ‘real’, berpengkalan di negara jiran. Salah seorang anggota sindiket penjualan buah pinggang yang ditahan baru-baru ini mendedahkan memilih Kemboja sebagai pangkalan kerana sistem pentadbiran yang dijalankan pihak hospital di negara itu sangat mudah dan tidak merumitkan.
Hanim, 41, ketika memberikan keterangan selepas ditahan polis Jumaat lalu mendakwa, hospital yang melakukan pembedahan dan pemindahan buah pinggang di Kemboja juga dianggap cukup prihatin terhadap penderma.
“Sebagai contoh, selepas enam hingga tujuh bulan penderma pulang ke rumah dan kembali melakukan aktiviti mereka di Indonesia, pihak hospital masih lagi bertanya khabar tentang keadaan kesihatan mereka. Urusan di hospital juga tidak rumit,” katanya.
Menurut Hanim, pusat perubatan di Kemboja yang terlibat dalam sidiket berkenaan dilihat seperti hospital tentera dan dia percaya pemilik hospital berkenaan mungkin sudah tahu malah turut terlibat dalam urusan jual beli organ tersebut.
Hanim mendedahkan, penderma buah pinggang yang datang dari pelbagai wilayah di Indonesia itu biasanya akan berkumpul di sebuah rumah sewa di kawasan Cibinong sebelum berlepas ke Kemboja tanpa mengeluarkan sebarang bayaran.
“Kedua-dua penderma dan penerima pemindahan dikendalikan oleh doktor-doktor yang mungkin berasal dari China.
Manakala kebanyakan penerima buah pinggang datang dari Singapura, Korea, Malaysia dan juga Indonesia.
“Penderma tidak akan dikenakan sebarang bayaran. Bermula dari tiket kapal terbang, penginapan, makan, kos pemeriksaan kesihatan dan rawatan hospital, semuanya ditanggung sindiket,” katanya.
Jumaat lalu, seramai 12 orang yang terlibat dalam kes pemerdagangan buah pinggang Indonesia yang berpangkalan di Kemboja diberkas termasuk seorang pegawai imigresen dan seorang anggota polis.