KUALA LUMPUR, 22 Apr – Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Kamil Munim menyelar penyebaran fitnah berunsur agama dalam politik, dengan menyifatkannya sebagai perbuatan berbahaya yang boleh menjejaskan reputasi serta mengelirukan masyarakat.
Beliau berkata, permohonan maaf oleh Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Zulkifli Ismail kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung dakwaan larangan bertakbir dan Qunut Nazilah hanya dibuat selepas isu tersebut tersebar luas sejak sekian lama.
“Fitnah dalam politik ibarat racun. Sekali disebar, ia merosakkan reputasi, mencetus kebencian dan menipu rakyat dengan naratif palsu,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, tuduhan yang mula dimainkan sejak 2023 itu bukan sahaja tidak berasas, malah dilihat sebagai usaha memanipulasi sentimen agama demi kepentingan politik tertentu.
Kamil menjelaskan, penyebaran fitnah dalam tempoh beberapa tahun telah memberi kesan mendalam terhadap persepsi awam, termasuk menghakis keyakinan terhadap institusi pendidikan.
“Sepanjang tempoh itu, berapa ramai rakyat telah terpengaruh dengan cerita tidak benar yang disebarkan di pentas ceramah dan media sosial,” ujarnya.
Tambahnya, isu tersebut bukan sekadar melibatkan tindakan individu, sebaliknya turut diperluaskan melalui jentera politik yang menyebarkan naratif berkenaan secara meluas.
Beliau turut berpandangan bahawa permohonan maaf semata-mata tidak mencukupi untuk memulihkan kerosakan yang telah berlaku.
“Reputasi yang tercalar tidak pulih sekelip mata, dan persepsi negatif yang telah tertanam tidak akan hilang hanya dengan satu permohonan maaf,” katanya.
Sehubungan itu, Kamil menegaskan bahawa amalan menyebarkan tuduhan sebelum memohon maaf tidak wajar dijadikan kebiasaan dalam politik negara.
“Ini taktik lama cipta tuduhan sensasi, mainkan emosi dan agama, kemudian minta maaf apabila terdedah,” tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar isu berkaitan Palestin tidak dieksploitasi untuk kepentingan politik.
“Perjuangan kemanusiaan tidak sepatutnya dijadikan alat untuk meraih sokongan politik. Ia menghina keikhlasan rakyat Malaysia yang benar-benar prihatin,” katanya.
Kamil menambah, politik yang matang perlu berasaskan integriti dan tanggungjawab, bukan manipulasi, sambil menggesa tindakan tegas diambil bagi mengelakkan budaya fitnah terus berulang.