Kerajaan bakal umum inisiatif baharu bantu golongan tercicir pekerjaan – PM

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 21 Apr – Kerajaan dijangka memperkenalkan beberapa langkah tambahan dalam masa terdekat bagi membantu golongan yang masih tercicir daripada pasaran pekerjaan, susulan kesan daripada konflik di Asia Barat.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kumpulan yang terlibat termasuk siswazah serta lepasan diploma yang masih belum memperoleh pekerjaan.

“Saya akan umum langkah-langkah tambahan supaya kelompok yang tersisih daripada peluang pekerjaan termasuk siswazah menganggur atau lulusan diploma itu kita akan umum dalam masa singkat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan sesi meja bulat bersama institusi kewangan di sini hari ini.

Menurut beliau, langkah baharu perlu dirangka sebagai persediaan menghadapi cabaran semasa, selain memastikan kedudukan ekonomi negara terus kukuh dan berkembang.

Tambahnya, petunjuk makroekonomi negara setakat suku pertama tahun ini menunjukkan prestasi yang sangat memberangsangkan, dengan unjuran pertumbuhan oleh Bank Negara Malaysia berada pada kadar antara empat hingga lima peratus walaupun berdepan tekanan daripada krisis global.

“Petanda makro ekonomi negara itu sudah sangat baik sehingga mencecah suku tahun pertama tahun ini dan unjuran Bank Negara Malaysia (BNM) juga baik empat hingga lima peratus meskipun dalam keadaan mula tempiasan ekonomi akibat krisis (global),” katanya.

Anwar turut menyifatkan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi tahun ini sebagai positif dan lebih baik berbanding banyak negara lain.