SANDAKAN, 22 Apr – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan pelbagai inisiatif bantuan segera bagi membantu meringankan beban mangsa kebakaran di Taman Bahagia, Sandakan, Sabah.
Antara bantuan yang disediakan ialah sumbangan tunai sebanyak RM1,500 bagi setiap keluarga melibatkan kira-kira 300 keluarga, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan RM450,000. Bantuan itu akan disalurkan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri dan Agensi Pengurusan Bencana Negara.
Pengumuman tersebut dibuat ketika beliau mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Batu Sapi, Sandakan, bagi meninjau keadaan mangsa yang terjejas, dengan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah serta beberapa kementerian berkaitan.
Sebelum ini, Kerajaan Negeri Sabah telah menyalurkan bantuan sebanyak RM1,000 kepada setiap keluarga terlibat, manakala Yayasan Kebajikan Sabah turut menyumbang jumlah yang sama sebagai bantuan tambahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Pendidikan menyediakan bantuan khas RM300 bagi setiap murid warganegara Malaysia yang terjejas, melibatkan seramai 454 pelajar dari 12 buah sekolah.
Selain itu, Jabatan Pendaftaran Negara melalui inisiatif perkhidmatan bergerak Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) menawarkan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma, termasuk sijil kelahiran, MyKid, MyKad, sijil kematian dan sijil perkahwinan bukan Islam.
Jabatan Imigresen Malaysia juga menyediakan kemudahan penggantian pasport kepada mangsa yang kehilangan dokumen tersebut dalam kejadian itu.
Dalam satu hantaran di Facebook, Anwar menegaskan bahawa bantuan yang disalurkan bukan sekadar sokongan material, tetapi mencerminkan keprihatinan dan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat yang terkesan.
“Sumbangan tunai, sokongan kepada anak-anak untuk kembali ke sekolah serta penggantian dokumen penting dilaksanakan tanpa lengah, agar mereka bangkit semula dengan lebih yakin dan bermaruah,” katanya.
Dalam hantaran berasingan, beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak akan membiarkan mangsa menghadapi situasi sukar itu bersendirian.
“Saya akui, hati ini benar-benar luluh melihat anak-anak kecil yang masih belum mengerti apa yang terjadi, ibu bapa yang menahan tangis dalam diam dan keluarga yang kini hanya bergantung pada sisa kekuatan yang ada. Ini bukan sekadar ujian, tetapi derita yang menyayat hati.
“Namun di celah duka yang begitu berat, saya menyaksikan sesuatu yang jauh lebih besar, iaitu ketabahan. Mereka tidak rebah, sebaliknya terus bertahan,” katanya.
Dalam kejadian Ahad lalu, kebakaran besar yang melanda perkampungan atas air itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan menjejaskan kawasan seluas lebih empat hektar.