KUALA LUMPUR, 22 Apr – Kandungan palsu berkaitan harga bahan api serta dakwaan pengenaan tol di Selat Hormuz dikenal pasti sebagai antara isu paling banyak disebarkan sepanjang tempoh krisis bekalan global ketika ini.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, sehingga jam 7 pagi hari ini, sebanyak 463 permohonan untuk menurunkan kandungan tidak benar telah diterima oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Menurut beliau, angka tersebut diperoleh daripada aduan awam yang kemudiannya disalurkan kepada penyedia platform media sosial untuk tindakan lanjut.
“Daripada jumlah itu, Facebook mencatatkan permohonan tertinggi iaitu sebanyak 185 permohonan, diikuti TikTok dengan 142 kandungan dan Threads sebanyak 131 kandungan.
“Apa yang dikesan, kandungan berita palsu yang paling tinggi adalah melibatkan isu harga bahan api serta isu Tol Selat Hormuz,” katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri mesyuarat Jemaah Menteri yang turut membincangkan beberapa keputusan penting di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN).
Mengulas mengenai aspek penguatkuasaan, Fahmi memaklumkan bahawa sebanyak 65 kertas siasatan telah dibuka setakat ini bagi menangani penyebaran maklumat palsu.
“Daripada jumlah tersebut, satu kes telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan pendakwaan di mahkamah.
“Selain itu, lima kes lagi telah mendapat nasihat Peguam Negara untuk dikenakan arahan kompaun, manakala baki kes-kes lain masih dalam proses siasatan.
“Semua permohonan ini akan terus dipantau dan kita pastikan tindakan sewajarnya diambil oleh penyedia platform bagi mengawal penyebaran maklumat tidak benar yang boleh mencetuskan kegusaran awam,” katanya.