Pelawak Singapura hina Malaysia tak serik lagi, pertikai batal konsert The1975 lepas aksi cium.
Pelawak solo wanita kelahiran Singapura, Jocelyn Chia baru-baru ini sekali lagi mencetuskan kemarahan ramai apabila mempertikaikan tindakan kerajaan yang membatalkan konsert kumpulan The 1975 di Litar Antarabangsa Sepang, Kuala Lumpur Jumaat lalu.
Dalam satu perkongsian di laman Instagram pada Ahad, pelawak itu meluahkan rasa tidak puas hati susulan pembatalan konsert artis terkemuka United Kingdom, England terbabit yang didakwa membuat aksi kurang sopan berupa LGBT ketika membuat persembahan di ‘Good Vibes Festival 2023’.
Menganggap ia sebagai salah satu tindakan yang hanya memberi populariti kepada individu terbabit, Jocelyn menggesa Malaysia lebih tenang dalam membuat keputusan.
“Saya dipaparkan di muka depan berita CNN dan BBC selepas Malaysia meminta bantuan Interpol untuk memburu saya dan sekarang mereka sekali lagi membuat berita tergempar dengan membatalkan sebuah festival muzik hanya kerana seorang penyanyi.
“Secara ironinya, mereka juga menawarkan satu formula untuk artis bertambah popular, jadi sekiranya Malaysia enggan selebriti yang tidak digemari terus dikenali, mereka perlu bertenang.
“Dalam erti kata lain, seperti yang rakyat Malaysia selalu katakan, relak lah bro,” katanya.
Menyedari ciapannya bakal dikecam ramai, pelawak itu turut meninggalkan pesanan akhir di Instastory.
Jocelyn Chia menerusi ciapannya di Instastory.
“Selamat kembali kecaman semua, saya cuma ingin beritahu yang saya tidak akan membaca sebaran komen ataupun berita merepek yang anda semua tulis, jadi teruskan berseronok dengan membuang masa,” ujarnya.
Untuk rekod, Jocelyn pada bulan lalu membuat sketsa komedi berupa penghinaan terhadap negara Malaysia apabila beberapa kali membangkitkan isu perkauman serta membandingkan kemajuan yang dimiliki antara kedua-dua negara terbabit.
Antara isu yang dibangkitkan adalah berkenaan kemajuan ekonomi Malaysia yang dikatakan lebih rendah berbanding Singapura yang diiktiraf sebagai negara membangun di mata dunia selain turut memetik beberapa isu hangat berkaitan tragedi kehilangan pesawat MH370 yang berlaku pada 2014.