Realtime website trackingweb stats

Sampah setinggi KLCC rupanya datang dari negeri ini, itu baru seminggu

Oleh AHMAD ISMAIL

Longgokan sampah setinggi KLCC hanya dalam tempoh seminggu di Selangor mampu mencecah sehingga 49,000 tan.

Ini bermakna sisa domestik di Selangor jika dikumpul dalam tempoh seminggu boleh menya­mai ketinggian bangunan pencakar langit kedua tertinggi di Malaysia itu.

Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM), Mohd. Idris Mohamed Yusof berkata, Selangor menjadi ne­geri paling tinggi menyumbang keseluruhan sampah iaitu 30 peratus sehari daripada 38,000 tan.

“Berdasarkan kiraan, jika ke­seluruhan sampah seminggu itu disusun secara bertingkat, boleh menyamai ke­tinggian KLCC (451.9 meter),” katanya.

Umumnya, rakyat di negara ini menjana sampah domestik sebanyak 38,000 tan sehari dengan Selangor merekodkan jumlah terbanyak iaitu kira-kira 7,000 tan.

Itu adalah angka pada tahun 2022 dan dijangka lebih tinggi lagi tahun ini lantaran jumlah sampah di negara ini te­rus meningkat setiap tahun.

Idris berkata, secara purata seorang penduduk di Selangor menyumbang 1.17 kilogram (kg) sampah sehari dengan 50 peratus dari komposisi itu melibatkan sisa makanan.

Menurutnya, hasil rekod juga menunjukkan kutipan sampah domestik yang diuruskan KDEBWM meningkat secara purata sebanyak tujuh peratus setiap tahun.

Ini dibuktikan apabila sampah dikutip bagi tahun 2016 sebanyak 96,119 tan, 2017 (438,795.74), 2018 (744,757.48), 2019 (1.33juta), 2020 (1.6juta) dan 2021 (1.71juta).

Ujar Mohd. Idris, keadaan ini menyebabkan kerugian kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) apabila terpaksa menanggung kos pelupusan yang tinggi setiap tahun.

Beliau berkata, lokasi paling tinggi kutipan sampah pada 2021 adalah kawasan pentadbiran:

1. Majlis Perbandaran Kajang – 840,302.97 tan
2. Majlis Bandaraya Pe­taling Jaya – 552,193.30 tan
3. Majlis Perbandaran Sepang – 318,504.53 tan
4. Majlis Bandaraya Subang Jaya – 230,162.98 tan
5. Majlis Perbandaran Klang – 202,673.14 tan.

Jelasnya, bagi tempoh lapan hari puasa bermula 2 hingga 9 April 2022, sebanyak 355 tan sampah dari tapak bazar Ramadan di tujuh PBT telah diuruskan KDEBWM berbanding tempoh 145 tan tahun lalu.

Sehubungan itu, Idris mengingatkan pengguna di Malaysia untuk berjimat cermat ketika berbelanja bagi mengelakkan pembaziran seterusnya mengurangkan penghasilan sampah.

Baca:

Dulu masuk list ‘skandal rasuah’ negara, ini rupa kapal OPV1 yang akhirnya siap selepas 4 kali tertangguh

Masih misteri, tiba-tiba muncul ‘ahli keluarga’ Azar Azmi dedah rupanya dia dah…

Dah tak perlu beratur, guna apps je nak perbaharui lesen, siap dapat rebet RM5