Dulu masuk list ‘skandal rasuah’ negara, ini rupa kapal OPV1 yang akhirnya siap selepas 4 kali tertangguh

Oleh ARIF ABDULLAH

Selepas empat kali penangguhan, Kapal Peronda Luar Pesisir Pertama (OPV1) buatan tempatan telah rasmi diserahkan oleh TH Heavy Engineering Berhad (THHE) kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada malam semalam.

Datuk Ruji Ubi, Ketua Setiausaha KDN, menyatakan bahawa penyerahan rasmi ini bertujuan untuk membolehkan kapal tersebut diserahkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bagi melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan dan pencarian.

“Penyerahan OPV1 ini adalah satu lagi detik bersejarah kepada kementerian ini khususnya kerajaan MADANI kerana telah berjaya memastikan kapal peronda buatan tempatan ini siap dibina setelah beberapa kali berlaku penangguhan akibat ancaman COVID-19 selain proses membawa masuk peralatan teknikal terkini kapal yang diimport.

“OPV1 ini dibina menggunakan rekabentuk Damen 1800 berukuran 83 meter panjang dengan lebar 13.7 meter dan berkeupayaan melakukan operasi di laut dalam jangka waktu 21 hari tanpa ulang bekal.

“Reka bentuk kapal ini bakal menjadikan OPV1 berkemampuan menghadapi laut bergelora sehingga tahap Force 7,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, penyerahan kapal ini telah ditangguhkan sebanyak empat kali, iaitu pada bulan Mac, Julai, November, dan Disember 2023, sebelum akhirnya diserahkan secara rasmi semalam.

Penangguhan tersebut berlaku kerana terdapat kelewatan dalam menerima peralatan utama yang telah ditempah dari luar negara, dan juga menunggu percubaan pelayaran di laut sebelum kapal itu boleh diserahkan kepada Maritim Malaysia.

Sebelum acara penyerahan semalam, Ruji telah menghadiri Majlis Penyerahan OPV1 kepada KDN di Limbungan Kapal THHE Fabricators Sdn Bhd di sini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin, dan Pengerusi TH Heavy Engineering Berhad, Datuk Jauhari Hamidi.

Secara terperinci, Ruji menyatakan bahawa OPV1 juga dapat menjalankan tugas-tugas seperti Bantuan Kemanusiaan & Bantuan Bencana (HADR), berfungsi sebagai Kapal Logistik, Kapal Induk, Kapal Pemerintah, dan berperan sebagai tempat penyimpanan Peralatan Pencemaran Minyak.

Kapal ini mampu mencapai kelajuan 21 knot dan dilengkapi dengan fasiliti seperti helipad dan sel tahanan.

Tambahan pula, ia dilengkapi dengan peralatan berteknologi tinggi seperti Pesawat Tanpa Pemandu (UAV), Meriam 30mm Smash Aselsan, dua buah bot jenis Rigid Hull Inflatable Boat (RHIB), dan Fast Interceptor Craft.

“OPV1 ini juga didatangkan bersama Radar X dan S Band bagi memastikan rondaan mampu bergerak secara meluas selain boleh menempatkan 70 orang anak kapal dalam satu-satu masa operasi.

“Berdasarkan kehebatan yang ada pada kapal berkenaan, ia diharapkan mampu membantu Maritim Malaysia memperkasakan lagi pengoperasian agensi ini dalam menguatkuasakan undang-undang maritim seterusnya memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) berada dalam keadaan selamat dan sejahtera,” katanya.

OPV sepatutnya diterima pada 2022

Kerajaan telah menandatangani perjanjian dengan THHE Destiny pada tahun 2017 untuk menyediakan tiga unit Kapal Penjaga Pantai (OPV) dengan kos sebanyak RM740 juta kepada Maritim Malaysia.

Kapal-kapal tersebut sepatutnya diserahkan pada tahun 2022.

Walau bagaimanapun, cabaran kewangan yang dihadapi oleh syarikat ibu, THHE, dan wabak COVID-19 telah menyebabkan pembinaan kapal-kapal tersebut di Pulau Indah terpaksa ditangguh.

Kerajaan Perpaduan juga turut campur tangan dalam pembangunan OPV tersebut apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pada Januari tahun lepas bahawa kerajaan akan memberikan pinjaman sebanyak RM152.6 juta untuk memastikan penyelesaian projek OPV1.

Projek OPV ini kemudiannya diambil alih oleh Kementerian Kewangan daripada syarikat usaha sama Tabung Haji dan Destini Berhad, iaitu THHE Destini Sdn Bhd, selepas ia menghadapi masalah besar.

OPV1 sepatutnya diserahkan kepada kerajaan pada Mac, kemudian dilanjutkan lagi pada Oktober 2023.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, melaporkan pada Februari 2023 bahawa dua OPV akan diserahkan pada tahun 2023, dan yang ketiga akan diserahkan pada hujung tahun ini.

Pada bulan November tahun lalu, OPV1 telah menjalani ujian laut dengan menempuh jarak sepanjang 630 batu nautika di perairan Selat Melaka, bermula dari Pelabuhan Klang hingga Pulau Langkawi.

Baca:

Ada tergamak gelar PM sebagai ‘Dajjal’, ini 7 ‘selebriti fitnah’ wajib rakyat sedari

Macam borak dengan geng lelaki – Dr. Say versi bertudung ini cool dan kelakar

Tak perlu beli di kedai, buat sendiri cendawan celup tepung guna air fryer