Whatsapp tidak akan berfungsi pada 3 model iPhone ini. Mulai 5 Mei 2025, aplikasi WhatsApp tidak lagi akan berfungsi pada tiga model iPhone lama, iaitu iPhone 5s, iPhone 6, dan iPhone 6 Plus, menurut laporan Daily Mail.
Menerusi pengumuman rasmi di laman web WhatsApp, aplikasi tersebut hanya akan menyokong peranti yang menggunakan iOS 15.1 ke atas. Ini bermakna, pengguna tiga model iPhone lama ini tidak lagi boleh menghantar atau menerima mesej menggunakan aplikasi popular itu.
Kenapa WhatsApp Buat Keputusan Ini?
Menurut jurucakap WhatsApp, ini adalah sebahagian daripada proses semakan tahunan yang dilakukan syarikat bagi memastikan prestasi aplikasi kekal optimum.
“Setiap tahun, kami menyemak peranti dan sistem operasi mana yang sudah terlalu lama dan jumlah pengguna yang masih menggunakannya.
Biasanya, peranti-peranti ini tidak lagi menerima kemas kini keselamatan atau tidak menyokong fungsi baharu yang diperlukan WhatsApp,” jelasnya.
Oleh itu, jika peranti tidak dapat dikemas kini ke sekurang-kurangnya iOS 15.1, aplikasi WhatsApp tidak lagi dapat digunakan.
Bukan WhatsApp Sahaja – Aplikasi Lain Pun Sama
Sebelum ini, aplikasi popular lain seperti Spotify dan Instagram juga telah menghentikan sokongan terhadap ketiga-tiga model iPhone tersebut, yang kini diklasifikasikan sebagai peranti lapuk oleh Apple.
Pengisytiharan Apple itu juga bermakna tiada lagi alat ganti, kemas kini perisian, atau perkhidmatan sokongan akan disediakan bagi model-model ini.
Nak Semak iPhone Anda Masih Disokong atau Tidak? Ini Caranya:
- Buka ‘Tetapan’ (Settings).
- Pilih ‘Umum’ (General).
- Tekan ‘Perihal’ (About).
- Lihat versi iOS di bahagian ‘Versi’ (Version).
Kalau versi iOS anda bawah daripada 15.1, anda mungkin tidak lagi boleh menggunakan WhatsApp selepas tarikh yang dinyatakan.
Untuk kemas kini:
- Pergi ke Tetapan > Umum > Kemas Kini Perisian (Software Update).
- Jika ada versi baharu, tekan ‘Kemas Kini Sekarang’ (Update Now).
Jika anda masih menggunakan iPhone 5s, 6 atau 6 Plus, mungkin sudah tiba masa untuk pertimbangkan naik taraf peranti bagi memastikan aplikasi-aplikasi penting seperti WhatsApp terus boleh digunakan. Dunia teknologi sentiasa berubah, dan kemas kini seperti ini adalah lumrah demi keselamatan dan kelancaran penggunaan.
BACA JUGA :
Betul ke Elon Musk bakal gugat pasaran iPhone? Ini respon tuan badan
Bukan hanya untuk pengguna android, Gemini saingan ChatGPT bakal temui pengguna iPhone
Ini cara mudah dapatkan iPhone 16 tanpa Kontrak, siap ada cashback