Murid sudah dibenarkan hanya memakai pakaian seragam sekolah untuk dua hari dalam seminggu bagi sesi persekolahan 2024/2025 mulai Mac ini.
Dua hari lagi mereka boleh mengenakan pakaian sukan dan bagi pakaian kokurikulum pula dibenarkan sehari.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata garis panduan baharu itu diputuskan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk pemakaian murid.
“KPM memutuskan bagi sesi 2024/2025 bermula Mac ini, selepas sesi libat urus dilaksanakan dengan semua pihak berkaitan termasuk pemegang taruh, maka pakaian seragam di sekolah sesi 2024/2025 diteruskan seperti berikut.
“Dua hari pakaian seragam, dua hari pakaian sukan dan satu hari pakaian kokurikulum,” katanya.
Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika menyampaikan Amanat 2024 KPM di Putrajaya, 19 Januari.
Sebelum ini, sudah menjadi kelaziman sebahagian sekolah membenarkan murid mereka memakai uniform untuk dua hari manakala baju ko-kurikulum pada setiap Rabu dan dua hari lagi adalah baju sukan.
Namun, ada juga sekolah yang muridnya memakai uniform untuk lima hari.
Sehubungan itu, pengumuman terbaharu Menteri Pendidikan berkenaan bagi tujuan penyelarasan bagi semua sekolah.
Mengapa pengumuman ini penting? Ikuti pendapat Khairie Kemat ini:
Sebabnya, antara kos besar persediaan anak ke sekolah adalah menyediakan baju uniform.
Pengalaman tahun lepas, baju uniform ini jarang diguna pakai, dan apa yang terjadi adalah baju dan seluar tidak muat untuk dipakai lagi.
Ibu bapa perlu keluarkan kos yang besar untuk uniform ini (selalunya 2-3 helai baju dan seluar), dan harganya boleh mencecah ratusan ringgit.
Adakah boleh dikekalkan baju sukan sebagai pengganti baju uniform?
Sejujurnya saya lebih suka jika baju sekolah (terutamanya sekolah rendah) menggunakan baju sukan.
Baju lebih mudah kering, dan pelajar dilihat lebih selesa dan mudah melakukan aktiviti-aktiviti.
Pengumuman Menteri Pendidikan ini dapat mengelakkan dari berbelanja lebih untuk membeli baju uniform, dan kemudiannya membeli baju sukan dalam kuantiti yang banyak kerana pelajar memakai baju sukan sepanjang persekolahan tahun lepas.
Baca:
Rakam dan jual klip video seks, polis tahan ‘gigolo’
Selepas dianiaya, ada peminat tawarkan pakej melancong – Reaksi Tyzo ini memang padu
Sawah padi rupanya dah empat hari diairi mayat mereput, penemuan polis ini menggemparkan