Tiktok punya pasal, percutian 10000 pelancong terbantut. Lebih kurang 10,000 pelancong tiba serentak di resort ski Roccaraso, yang terletak di pergunungan Apennine, Itali, pada Ahad lalu, menurut laporan portal berita MailOnline. Kejadian ini berlaku selepas mereka terpengaruh dengan promosi seorang bintang TikTok yang menawarkan pakej percutian murah serendah €20 (RM90) sehari melalui sebuah agensi pelancongan.
Rita De Crescenzo, pesohor TikTok tersebut, telah melawat resort itu pada minggu sebelumnya dan mempromosikannya di platform miliknya.
Namun, apa yang dijanjikan sebagai ‘percutian sehari yang mampu dimiliki oleh seisi keluarga’ bertukar menjadi mimpi ngeri apabila laluan menuju ke resort itu dipenuhi dengan bas dan kereta, menyebabkan ramai pelancong terkandas.
“Malangnya, keadaan menjadi sangat buruk kerana tiada siapa menjangkakan jumlah pelancong yang begitu besar. Mutu perkhidmatan juga merosot di beberapa tempat, terutama di restoran,” kata seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Gaia.

Akibat kebanjiran pelancong, sampah sarap berselerakan di merata-rata, mencetuskan kemarahan penduduk tempatan dan peniaga di kawasan tersebut. Keadaan yang tidak terkawal ini telah menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan komuniti setempat, yang terpaksa berdepan dengan kesan negatif daripada kemasukan pelancong yang terlalu ramai.
Baca lagi : Adik Along Cham dedah, kakak ipar punca abang ditangkap Polis