Tiga jam tolong Uwan turun dari Gunung Datuk, pantun dan cerita harimau nenek ini mengundang teka-teki.
Berpantun di Gunung Datuk, dalam banyak siri mendaki bukit atau gunung saya buat (macamlah dah hiking 10, 20 tahun) sama ada berkumpulan mahupun seorang diri, Trans Naning sejauh 25 km merentas 7 puncak gunung paling banyak mengundang teka-teki. Teka-teki?
Cabaran dari segi ‘mental’ menguasai diri ketika fizikal – letih dan perut dah be’rock metal’ yang amat sangat. Mujur cuaca cerah sepanjang 14 jam merentas hutan dan mendaki gunung, tidak hujan dan denai tidak terlalu teruk berselut. Pacat wajib ada terutama dari Gunung Tampin Selatan hingga ke Kem Ultra.
Menapak tiba di pintu gerbang Hutan Simpan Gunung Tampin jam 8.30 pagi, kami mulai turun dari puncak Gunung Datuk 884 meter seusai waktu Maghrib.
Namun, tiga jam juga kami ‘terjebak’ dalam misi ‘menyelamat’ seorang nenek dan anaknya di pertengahan ‘trail’ Gunung Datuk. Nenek itu berumur 83 tahun dikhabarkan banyak kali oleh anaknya semasa mendaki mulai jam 2 petang elok saja ‘melompat-lompat’ – gambaran mudahnya warga emas itu mendaki.
Untuk makluman, mendaki Gunung Datuk agak ‘azab’ kerana bercerun tinggi apa lagi bagi individu berumur 83 tahun.
Persoalan demi persoalan pun bermain di fikiran yang kemudiannya dizahirkan dalam dahan dan ranting kata tanya.
Usia sebegitu mendaki gunung waktu petang dan berada di puncak hingga waktu Maghrib, turun dari puncak pula tanpa guna lampu suluh. Apa yang membuatnya sanggup menempah risiko?
Soalan pun bertubi-tubi sambil mereda rasa ‘terkandas’ dan penat dihambat kelambatan ketika menuruni puncak tertinggi di daerah Rembau itu.
Dah berada di dalam kereta, nenek itu sempat pula bercerita tentang kemunculan harimau di tanah pusakanya. “Suami saya tengok tengah malam, matanya (harimau) merah”, segera disampuk anaknya dan menyoal kami, “pernah tengok rimau hidup dalam kebun getah?”
Tentunya ada hikmah kami terjumpa mereka di ‘trail’ Gunung Datuk. Yang baik moga memberi manfaat. Yang buruk moga dijauhkan dari mudarat. Hanya Allah Yang Maha Kuasa pelindung kita semua.
Akhirnya, lebih jam 12 tengah malam, barulah kami dapat isi perut di kedai makan tomyam di Rembau. Kami berempat jadi pelanggan terakhir.
Sempat juga jamah nasi putih, telur dadar, ayam masak paprik dan kangkung masak belacan – hidangan berat yang sebelum ini kebanyakan kami tak sentuh waktu malam apa lagi selepas tengah malam.
Oh ya, sebelum itu ketika saya memimpin nenek tersebut menuju ke kereta anaknya, dia sempat berpantun dua rangkap (tapi baris pertama pembayang tak lengkap dirakam).
Uwan dari keturunan Suku Biduanda itu ‘menjual’, tapi saya anak keturunan Riau + Perak sudah tepu otak pula tidak larat ‘membeli’.
Baju corak dadu
hatiku susah bertambah runsing
mana tempat nak mengadu.
Tebang tebu beruas-ruas
belum makan merasa jemu
ku pandang cik adik-adik ni belum puas
nak ku ulang rasa malu.
Dalam hati saya, tertanya-tanya, dah kenapa pula kami ni dipanggil “cik adik-adik”? Dan paling penting, siapa pula “cik abang”?
*Nota: sistem panggilan ‘encik’ (dulu dieja: ‘enchek’) kalau orang dulu-dulu juga terpakai untuk perempuan. Boleh dengar lagu-lagu 50-an dan baca dalam naskhah akhbar, majalah, novel zaman sebelum merdeka. Apabila generasi berumur 80-an sekarang menyebut ‘cik’ pula, panggilan itu pula bukan saja terhad kepada kaum Hawa.