Sudah lumrah akan ada yang perlekeh perkara yang kita lakukan hatta mengajak orang Islam menjadikan solat Subuh berjemaah ramai macam solat Jumaat.
Itu yang dialami pelakon dan penyanyi, Alif Satar, 33, yang menggerakkan kempen #GengSubuhMacamJumaat sejak November lalu.
Terdapat suara sumbang yang mempersoal penglibatan orang ramai dalam inisiatif pempengaruh berkenaan dalam mengimarahkan masjid pada waktu solat Subuh itu.
Reaksi itu muncul susulan kempen itu berjaya menarik sehingga kira-kira 3,000 jemaah solat Subuh di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara pada 1 Januari lalu.
Namun, pelantun lagu ‘Lelaki Seperti Aku’ itu tidak mahu memikirkan soal pandangan negatif segelintir pihak terhadap kempen murni berkenaan.
“Saya tidak peduli langsung sebab tahu apa yang dibuat ini, iaitu ajak ramai-ramai (solat secara berjemaah di masjid)… Dua tiga orang ini saya tak kisah.
“Saya fikir apabila buat gerakan sebegitu, ramai yang ikut. Tidak ada kena mengena dengan kepentingan diri.
“Apa yang saya buat memang kerana Allah SWT,” kata selebriti berusia 33 tahun itu, dipetik BH.
Terdahulu, ada yang menganggap mereka yang menyertai kempen #GengSubuhMacamJumaat hanya mahu bertemu selebriti.
Walau bagaimanapun, ramai yang mempertahankan Alif dan menyifatkan inisiatif itu sebagai motivasi agar umat Islam menunaikan solat berjemaah di masjid.
Kempen #GengSubuhMacamJumaat tercetus selepas Alif rasa ‘tertembak’ apabila mendengar ceramah seorang ustaz berkaitan isu Palestin.
Penceramah tersebut mempersoal bagaimana hendak memerangi Israel jika takut mengantuk untuk menunaikan solat di masjid.
Sebelum ini, Alif kerap menggalakkan orang ramai keluar bersenam jam 5.30 pagi sebelum menunaikan solat Subuh.
Atas kesedaran selepas mendengar ceramah pendakwah berkenaan, Alif kemudiannya menyeru pengikutnya untuk bertukar sedikit dengan solat Subuh berjemaah terlebih dahulu.
Dalam masa sama, Alif menyarankan umat Islam mendirikan solat subuh secara berjemaah di masjid berhampiran kawasan masing-masing.
“Jom ajak semua orang di sekeliling kita untuk bangun solat subuh secara berjemaah di masjid berhampiran masing-masing.
“Insya-Allah, saya boleh sertai di mana-mana masjid nanti,” kata bekas peserta Ironman Langkawi yang berjaya berenang sejauh 3.8 kilometer (km), berbasikal 180 km dan berlari 42 km dalam tempoh 15 jam 6 minit 50 saat pada 2019 itu lagi.
Baca:
Ada tergamak gelar PM sebagai ‘Dajjal’, ini 7 ‘selebriti fitnah’ wajib rakyat sedari
Macam borak dengan geng lelaki – Dr. Say versi bertudung ini cool dan kelakar
Tak perlu beli di kedai, buat sendiri cendawan celup tepung guna air fryer