Melayan ‘healing’ di hujung minggu di pantai peranginan memang digemari ramai orang. Antara lokasi popular ialah di Teluk Senangin yang terletak di Lumut, Perak.
Pantai di daerah Manjung yang menghadap Pulau Pangkor itu memang lebih tenang dan santai dengan deretan pohon ru tidak seperti Teluk Batik yang agak sesak dengan pengunjung.
Pantainya yang cantik, berpasir halus, serta ombak yang tidak terlalu kuat memang sesuai untuk anak-anak kecil mandi dan bermain di tepian pantai.
Namun, tahukah anda pantai di Teluk Senangin dekat dengan jeti Lumut ini telah mencatatkan sejumlah kes lemas yang tragis membabitkan segenap lapisan usia?
Berikut antara tiga kes lemas yang berlaku di Pantai Teluk Senangin sebagai iktibar untuk kita tidak terlalu gembira semasa ‘healing’ di mana-mana kawasan pantai peranginan sekalipun:
1. Remaja ditarik ombak
Muhammad Fahmi Hafizi Mohd. Fadzli, 19, ditemui pukul 5.29 petang, 24 September 2023 oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) selepas ditarik ombak dan hilang di laut.
Mangsa ditemui pada jarak 50 meter dari lokasi dia dilaporkan hilang. Allahyarham ketika pagi kejadian itu sedang mandi di Pantai Teluk Senangin bersama ahli keluarga dan rakan-rakannya.
Bot bomba digunakan dalam operasi dengan membuat beberapa pusingan dalam usaha untuk menaikkan mayat remaja tersebut.
2. Cuba tahan kereta masuk laut
Dalam satu kes lemas yang agak pelik pada malam Khamis, 15 September 2022, Muhammad Hafiz Ramli, 31, meninggal dunia selepas terperosok ke bawah kereta ketika cuba menahan kenderaan itu dari masuk ke laut.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat lemas dan telah dikeluarkan oleh orang awam seterusnya dibawa naik ke tepi pantai sebelum anggota bomba sampai ke lokasi.
Operasi bomba kemudiannya membuat ‘size-up’ di lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain wujud sebelum tamat sepenuhnya pada pukul 1.45 pagi, Jumaat.
3. Budak awalnya hilang
Seorang budak berumur 10 tahun awalnya hilang ketika beriadah bersama keluarganya di Pantai Teluk Senangin pada petang 29 Julai 2023.
Namun, mayat Muhammad Faris Irfan ditemukan nelayan berhampiran Tanjung Hantu kira-kira 8.20 pagi keesokan harinya.
Mayat dijumpai dua batu nautika dari lokasi dilaporkan hilang. Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 67 anggota daripada pelbagai agensi termasuk bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) serta penduduk kampung.
Baca:
Sumber protein yang dipandang remeh, ini fakta dan mitos mengenai telur wajib anda tahu
Wanita selamba jamah makanan kucing, ini nasihat pakar pemakanan