Realtime website trackingweb stats

Rupanya motorsikal yang sama ragut nyawa abang mangsa kemalangan ngeri empat pelajar UiTM Dungun

Oleh NUR KASIH

Kemalangan yang melibatkan empat pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dungun, Kuala Terengganu, yang dirempuh oleh sebuah kereta pada malam Rabu lalu, jelas meruntun jiwa.

Antara yang paling berdukacita dengan berita ini adalah bapa kepada Khairil Anwar Jamaludin, 20,

salah seorang daripada tiga pelajar yang maut dalam kemalangan tragis di hadapan kampus di Kampung Sura Hujung, Dungun.

Jamaludin Hussin, 53, meluahkan rasa sedih di atas kehilangan anak bongsunya yang sedang mengikuti pengajian Ijazah Perakaunan, di mana Khairil baru sahaja mendaftar untuk semester ketiga minggu lalu.

“Kehilangan ibu, bapa, atau adik-beradik adalah jauh berbeza berbanding kehilangan seorang anak.

Rupanya motorsikal yang sama ragut nyawa abang mangsa kemalangan ngeri empat pelajar UiTM Dungun

Tangan saya menggigil dan saya sudah tidak tahu arah sekarang ini.

“Baru minggu lepas saya menghantar Khairil ke Dungun untuk menyambung pengajian semester baharu,” ujarnya memulakan cerita.

Menurut bapa kepada lima cahaya mata itu, anak-anaknya sangat rajin mencari duit belanja sendiri setiap kali musim cuti panjang, termasuk Khairil.

Anak kesayangannya itu sempat memberikan hadiah kepada ibunya sebelum pulang ke kampus, menjadi pemberian terakhirnya.

“Sebelum dia kembali ke kampus, Khairil sempat memberikan maknya hadiah gold bar. Dia belikan hadiah itu kerana baru lepas mendapat gaji hasil bekerja sambilan di sebuah kedai kopi.

“Anak-anak saya memang pandai mencari duit untuk keluarga. Jika ada cuti panjang, mereka pasti akan mencari kerja sambilan tanpa mengira jenis pekerjaan,” katanya.

Menurut Jamaludin, yang menetap di Kampung Pandan, Kuala Lumpur, pemergian anak kesayangannya ini adalah satu kehilangan besar yang dialaminya untuk kali kedua sejak tujuh tahun lalu.

Jamaludin berkata, pemergian anak sulungnya, Muhammad Khairul Izzudin, pada 13 Oktober 2017, yang juga terlibat dalam kemalangan, cukup memberi kesan mendalam kepada dirinya dan keluarga.

Untuk makluman, Khairil Anwar yang menunggang motosikal Yamaha 135 LC maut dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Honda CRV.

Dalam kejadian itu, dua rakannya yang menaiki motosikal Yamaha Y15ZR turut maut dan seorang lagi cedera parah.

“Sebenarnya, ini kali kedua saya kehilangan anak. Sebelum ini, abang sulung Khairil terlibat dalam kemalangan juga.

“Pengalaman yang sama, bulan sama (Oktober)… masa juga sama, cuma tarikh sahaja berbeza. Maknanya, genap tujuh tahun abang sulungnya meninggal, Khairil pula ‘pergi’.

“Motosikal Yamaha LC yang Khairil naiki malam kejadian itu adalah kenderaan yang sama yang ditunggang oleh abangnya malam kemalangan tersebut,” katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, Jamaludin berkata dia dan ahli keluarganya reda dan percaya bahawa apa yang berlaku adalah takdir dan ketentuan-Nya.

Katanya, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, setelah proses pengurusan dibuat sepenuhnya oleh pihak UiTM Dungun.

Namun, bapa Khairil juga meluahkan rasa terkilan apabila mengetahui punca kematian anaknya yang maut akibat kecederaan teruk di bahagian kepala.

“Selepas mendapat berita malam semalam (Rabu), saya terus bergegas ke hospital dan bertemu inspektor polis. Saya dimaklumkan bahawa tiada post-mortem kerana sudah dilakukan pengecaman mayat dan laporan.

“Saya tidak mampu untuk melihat keadaan anak saya semasa pengecaman mayat. Namun, apa yang boleh saya katakan adalah jasad arwah dalam keadaan sempurna.

“Saya diberitahu oleh anak saudara bahawa bahagian kepala Khairil pecah akibat terhantuk simen penghadang longkang. Apabila berjumpa dengan pihak forensik, mereka juga memaklumkan bahawa leher anak saya patah,” ujarnya lagi.

Menurut pihak polis yang memberitahu Jamaludin, pemandu wanita berusia 49 tahun yang merempuh motosikal anaknya dipercayai tidak siuman.

“Pihak polis ada beritahu saya bahawa ramai yang memaklumkan bahawa sebelum kejadian, suspek ada menari-nari dan mengganggu orang awam. Ketika kejadian, ada juga orang yang melihat cara pemanduannya.

“Dia memecut laju walaupun melanggar bonggol. Anak saya dan rakan-rakannya baru pulang dari makan malam, dan suspek melanggar motosikal anak saya dari belakang sehingga menyebabkan motosikal itu total lost.

“Saya memang tidak boleh terima bagaimana suaminya membenarkan seseorang yang mempunyai masalah mental seperti itu untuk memandu.

Polis bantuan ada memberitahu seorang pensyarah yang menyifatkan kemalangan ini sebagai yang paling ngeri pernah berlaku dalam 13 tahun dia mengajar. Sampaikan dia pun menggigil mendengar,” jelasnya.

BACA: Berjaya terjual dengan harga RM140000, harga RXZ ‘unregistered’ sama dengan Ducati