JOHOR BAHRU, 18 Apr – Kerajaan memberi fokus utama untuk memastikan bekalan bahan mentah bagi pengeluaran peranti perubatan sentiasa mencukupi dan tidak terjejas.
Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad berkata, pada masa ini rundingan berkaitan harga bagi pembelian bahan mentah seperti resin dan nafta melalui kerjasama strategik dengan China masih berlangsung berasaskan prinsip persetujuan bersama.
Menurut beliau, keutamaan kerajaan adalah menjamin kesinambungan bekalan terlebih dahulu, manakala aspek harga akan dimuktamadkan melalui rundingan komersial antara pihak terlibat.
“Kita pastikan bekalan terjamin dulu, hal yang terkait (soal) harga, itu dalam rundingan berdasarkan willing buyer, willing seller, tidak ada masalah .
“Jadi, tidak ada perkara-perkara yang akan menjejaskan bekalan, tiada gangguan bekalan atau bekalan yang akan tergendala untuk peranti perubatan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Raya Parlimen Pulai, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai potensi penjimatan hasil persetujuan strategik yang dimeterai oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) dengan China bagi memperkukuh perolehan dua bahan mentah berkenaan.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan Malaysia dalam kenyataan semalam memaklumkan bahawa bekalan peranti perubatan negara ketika ini berada dalam keadaan stabil dan terkawal, hasil pemantauan rapi serta pelaksanaan langkah mitigasi yang berterusan walaupun berdepan cabaran krisis tenaga global.
Menurut kementerian itu, kerjasama strategik dengan China bertujuan memperkukuh rantaian bekalan selain memastikan pengeluaran peranti perubatan kritikal di negara ini dapat diteruskan tanpa gangguan.