KOTA BHARU, 18 Apr – Kerajaan Persekutuan meningkatkan peruntukan pembangunan untuk Kelantan kepada RM8 bilion berbanding RM3.19 bilion sebelum ini, selaras usaha memperkukuh kesejahteraan rakyat di negeri itu.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pertambahan peruntukan tersebut mencerminkan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memastikan kebajikan rakyat Kelantan terus diberi perhatian.
Selain itu, beliau yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM20 juta khusus bagi membantu golongan miskin tegar, yang akan diselaras sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri.
“Masalah ini (kemiskinan) telah menjadi masalah negara, bukan sahaja masalah di negeri Kelantan,” katanya ketika berucap pada Mini Konvensyen Keadilan Kelantan 2026, di sini.
Terdahulu, kerajaan telah memperuntukkan RM3.19 bilion bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di Kelantan tahun lalu, meningkat hampir dua kali ganda berbanding RM1.55 bilion pada 2022.
Mengulas mengenai tadbir urus, Anwar menegaskan bahawa kerajaan kekal komited dalam memerangi rasuah serta tidak akan berkompromi terhadap sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan dana awam.
“Hasil daripada ketegasan kerajaan memerangi rasuah dan mengelakkan ketirisan dalam pengurusan kewangan, negara telah berjaya menyelamatkan dana sebanyak RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.
“Kita tidak izinkan orang mengambil harta negara untuk memperkaya diri mereka. Kalau ada bukti sesiapa sahaja tanpa kecuali (termasuk) dalam parti, di pejabat saya, sesiapa sahaja, kita tidak akan pertahankan,” katanya.
Dalam usaha memperluas peluang pekerjaan, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah mempengerusikan mesyuarat bersama syarikat berkaitan kerajaan bagi merangka inisiatif baharu untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada lepasan institusi pengajian tinggi serta bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional.
Pada masa sama, beliau turut menyuarakan rasa bangga terhadap perkembangan industri batik di Kelantan yang disifatkan semakin berkembang pesat, didorong oleh dasar kerajaan yang mewajibkan pemakaian batik dalam kalangan lebih sejuta penjawat awam.