Malaysia raih pelaburan RM9.5 bilion meskipun ketidaktentuan global

Oleh Hazril Abdul

KUALA LUMPUR, 20 Apr – Malaysia terus mencatat prestasi memberangsangkan dalam menarik pelaburan asing apabila berjaya memperoleh aliran masuk dana antarabangsa melebihi AS$2 bilion (sekitar RM9.5 bilion) ke dalam pasaran bon tempatan dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, pencapaian tersebut mencerminkan tahap keyakinan pelabur global terhadap kekuatan asas ekonomi negara yang kekal berdaya tahan walaupun dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik, termasuk konflik di Timur Tengah.

Menurut beliau, prestasi itu turut dipacu pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.2 peratus tahun lalu selain kedudukan ringgit yang muncul antara mata wang terbaik di Asia selama dua tahun berturut-turut.

Malaysia, katanya, turut merekodkan pencapaian pelaburan tertinggi khususnya dalam sektor pembuatan, semikonduktor dan aeroangkasa hasil kesinambungan reformasi dasar serta pengukuhan hubungan dengan pelabur antarabangsa.

“Pelabur melihat kerajaan yang menunaikan janji, ekonomi yang kekal bertahan ketika keadaan global merosot serta keupayaan negara menghasilkan produk yang benar-benar diperlukan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia dan NATSEC Asia 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia, hari ini.

Turut hadir Menteri Pertahanan, Mohamed Khaled Nordin; Panglima Angkatan Tentera, Malek Razak Sulaiman serta Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari.

Pameran dwitahunan yang kini memasuki edisi ke-19 itu menampilkan pelbagai teknologi dan aset pertahanan terkini merangkumi domain darat, udara dan maritim.

Edisi kali ini dijangka menghimpunkan sebanyak 1,456 syarikat antarabangsa dari 63 negara, meningkat berbanding 1,324 syarikat dari 60 negara pada penganjuran tahun 2024.

Dalam pada itu, Anwar turut menekankan keupayaan syarikat tempatan yang semakin menonjol dalam rantaian bekalan global, termasuk penghasilan komponen kritikal bagi industri aeroangkasa dan semikonduktor.

“Syarikat-syarikat di sini mengeluarkan struktur sayap bagi beberapa pesawat komersial yang paling banyak digunakan di dunia. Mereka juga menghasilkan komponen berketepatan tinggi untuk enjin aero bagi penerbangan jarak jauh merentasi setiap benua.

“Kilang semikonduktor di Pulau Pinang dan Kulim mengendalikan pemasangan, pengujian dan pembungkusan cip yang digunakan dalam sistem pertahanan dan keselamatan.

“Sebuah syarikat milik Malaysia memegang status pembekal Tier 1 kepada pengeluar enjin aero global terkemuka, dengan menghasilkan komponen di Malaysia yang hanya dipercayai kepada segelintir negara untuk mengeluarkannya,” katanya.