PUTRAJAYA, 20 Apr– Kerajaan mengumumkan beberapa langkah segera bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menangani kesan krisis tenaga global serta konflik di Asia Barat, termasuk penyediaan jaminan pembiayaan berjumlah RM5 bilion.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, kemudahan itu disalurkan melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi menyokong sektor terjejas seperti pembinaan, pertanian dan agromakanan, logistik, pengangkutan serta pelancongan.
Menurut beliau, skim tersebut kini menawarkan liputan jaminan sehingga 80 peratus berbanding 70 peratus sebelum ini, selain tempoh jaminan dilanjutkan kepada 10 tahun berbanding tujuh tahun sebelum ini.
Tambahnya, SJPP juga akan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk memudahkan proses penstrukturan dan penjadualan semula pinjaman, termasuk menyediakan bantuan bayaran balik secara bersasar kepada perniagaan yang terkesan.
Setakat ini, katanya, lebih 50,000 PMKS telah menerima manfaat daripada skim berkenaan dengan jumlah jaminan pembiayaan melebihi RM50 bilion bagi tempoh 2023 hingga 2025.
“Dalam keadaan tekanan global yang kian meruncing, Kerajaan MADANI tidak berlengah sebaliknya setiap tindakan segera digerakkan berpandu maklum balas secara terus daripada pemain industri, bagi memastikan setiap langkah yang diambil benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan.
“Tempias konflik Asia Barat kini memberi kesan meluas kepada ekonomi global melalui gangguan bekalan tenaga, peningkatan kos logistik dan insurans, serta tekanan berterusan terhadap harga input yang ditanggung peniaga, pengilang, peladang dan pemain industri lain,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, kerajaan turut memberikan kelonggaran terhadap pelaksanaan sistem e-Invois dengan melanjutkan tempoh peralihan selama 12 bulan bagi Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027, khusus untuk perniagaan yang mencatat jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM5 juta.
Kelonggaran itu termasuk kebenaran untuk mengeluarkan e-invois secara disatukan tanpa dikenakan penalti sepanjang tempoh peralihan tersebut.
Selain itu, kerajaan juga sedang meneliti langkah sementara untuk mengecualikan duti import dan cukai jualan ke atas barangan buatan Malaysia yang diimport semula selepas gagal dieksport akibat gangguan konflik, sehingga 31 Disember ini.
“Kerajaan akan terus memantau dan mengkaji keperluan untuk memudahcara layanan cukai bagi perniagaan yang terkesan daripada konflik Asia Barat,” kata Perdana Menteri.
Beliau menegaskan bahawa kerajaan akan terus mengambil pendekatan proaktif dalam memastikan ekosistem perniagaan kekal kukuh serta mampu menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran global.
“Kerajaan akan terus memperkukuh kerjasama dengan institusi kewangan, pemain industri dan usahawan agar setiap langkah yang diambil benar-benar membantu mengekalkan operasi perniagaan serta melindungi pekerjaan rakyat.
“Ini bukan situasi sementara, kita perlu bersedia untuk perubahan yang berperingkat dan berpanjangan,” kata Anwar.
Sementara itu, Kementerian Kewangan Malaysia dalam kenyataan sama memaklumkan bahawa langkah-langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan sejak awal krisis, dengan pendekatan libat urus diperluas merangkumi pelbagai segmen masyarakat termasuk komuniti Bumiputera, Cina dan India.
Menurut kementerian itu, pendekatan berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada pihak tercicir, selaras dengan aspirasi Ekonomi MADANI yang menekankan ketahanan ekonomi serta penyampaian bantuan secara bersasar kepada golongan yang memerlukan.