Baru-baru ini tular sebuah video yang menunjukkan seorang wanita membunyikan loceng di sebuah hospital
selepas menjalani rawatan. Video tersebut bukan sahaja menjadi perbualan hangat,
malah ramai pengguna media sosial keliru dan mempersoalkan maksud di sebalik perbuatan tersebut.
Apa Makna Membunyikan Loceng di Hospital?
Artikel ini akan menjelaskan maksud perbuatan tersebut.
Membunyikan loceng di hospital pada asalnya dilakukan untuk memberikan motivasi dan semangat kepada pesakit kanser.
Ramai pesakit yang didiagnos dengan kanser akan merasa cemas dan tertekan dengan keadaan tersebut. Ini kerana rawatan seperti radiasi dan kemoterapi sering membawa kesan sampingan seperti loya, keletihan, keguguran rambut, dan lain-lain.
Sejarah Tradisi Membunyikan Loceng
Amalan ini diperkenalkan bagi membolehkan pesakit kanser menandakan pencapaian penting selepas menjalani rawatan.
Hampir 30 tahun yang lalu, pusat rawatan kanser terkenal, MD Anderson, memulakan tradisi membunyikan loceng
selepas pesakit selesai menjalani terapi sinaran. Tradisi ini diinspirasikan oleh Tentera Laut yang membunyikan loceng sebagai simbol kejayaan menyelesaikan tugas.
Amalan ini kini dilihat sebagai inklusif, melibatkan semua pesakit kanser yang terkesan oleh rawatan radiasi.
Kini, banyak pusat perubatan telah mengembangkan amalan membunyikan loceng ini untuk pesakit yang berjaya menyelesaikan rawatan kemoterapi dan dianggap bebas daripada kanser.
Meluas ke Rawatan IVF
Perbuatan membunyikan loceng tidak lagi terhad kepada pesakit kanser sahaja. Amalan ini kini diperluaskan kepada pesakit yang berjaya melalui rawatan IVF (In vitro fertilization)
. Berdasarkan perkongsian pengguna TikTok @net_lim, wanita dalam video tersebut merupakan seorang yang berjaya dalam rawatan IVF.
Apa Itu IVF?
IVF adalah siri prosedur kompleks yang membantu kesuburan atau mencegah masalah genetik, bertujuan membantu mendapatkan zuriat. Dalam proses IVF, telur matang diambil dari ovari dan disenyawakan oleh sperma di makmal. Embrio yang terhasil kemudian dipindahkan ke rahim. Satu kitaran IVF biasanya mengambil masa sekitar tiga minggu, tetapi kadang-kala proses ini boleh berlangsung lebih lama.
IVF merupakan teknologi pembiakan berbantu yang paling berkesan dan telah membantu ramai pasangan yang menghadapi masalah kesuburan. Oleh itu, bagi mereka yang berjaya melalui rawatan ini, peluang membunyikan loceng diberikan sebagai simbol kejayaan dan harapan baru untuk menjadi ibu.
Secara keseluruhannya, membunyikan loceng di hospital adalah simbol kejayaan pesakit yang berjaya melepasi rawatan yang mencabar.
Bagi pesakit kanser, ia menandakan kemenangan selepas berdepan rawatan kemoterapi yang sukar. Manakala bagi mereka yang menjalani IVF, ia adalah tanda usaha dan penantian panjang yang akhirnya membuahkan hasil.
Video tersebut telah menerima jutaan tontonan dan pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial yang lain.
BACA: Penduduk rantau panjang dedah sebab kenapa angkat kaki nekad tinggalkan kampung