Penduduk di sekitar Rantau Panjang dilihat mula membuat persiapan awal bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula pada 5 November lalu.
Persiapan ini termasuk membungkus dan menyimpan barangan penting di tempat tinggi, membina rakit,
Dan membina laluan khas menggunakan papan untuk memudahkan pemindahan ahli keluarga ke tempat selamat jika banjir semakin memburuk.
Pelbagai langkah ini diambil bukan sahaja untuk keselamatan, tetapi juga bagi mengurangkan kerugian apabila banjir melanda. Rosnani Mat Jenin, 29,
seorang pemilik kedai makanan yang tinggal di Kampung Lubuk Jong, berkata kawasan rumahnya sering dilanda banjir kerana kedudukannya berhampiran Sungai Golok, Thailand.
“Saya sudah tinggal di kampung ini selama lebih dari sepuluh tahun dan setiap kali banjir, rumah saya akan ditenggelami air akibat limpahan Sungai Golok.
Oleh itu, penduduk terpaksa memindahkan perabot, tilam, barangan elektronik, dan dokumen penting ke tempat tinggi,” katanya.
Fazrein Shah Hussin, 18, seorang pelajar institusi pengajian tinggi yang tinggal di kampung sama, membantu bapanya mengangkat barangan elektronik ke sebuah pondok khas di kawasan tinggi. ”
Saya pulang semasa cuti semester untuk membantu ibu bapa mengemas dan menyimpan barangan seperti seterika, mesin basuh, dan televisyen ke dalam kotak. Apabila banjir berlaku, mereka hanya perlu menyelamatkan diri dan membawa barangan keperluan ke pusat pemindahan,” ujarnya.
Rosdi Abdullah, 62, seorang buruh di Kampung Lubuk Jong Hilir, berkata dia dan adiknya membina laluan khas daripada papan untuk menyelamatkan ahli keluarga ketika banjir.
“Rumah saya terletak di tepi Sungai Golok di kawasan tanah rendah, menyebabkan air naik hingga paras pinggang.
Jadi, saya membina laluan sepanjang 100 meter dengan sokongan besi untuk membawa keluar lapan ahli keluarga termasuk ibu saya yang berusia 86 tahun,” katanya
. Rosdi turut membina pondok khas untuk menyimpan barangan penting dan elektronik di tempat tinggi.
Di Kampung Tersang, Mohamad Hirwan Faizal, 42, seorang penjual burung hiasan, mengambil langkah membina rumah rakit. “Jika banjir menenggelamkan rumah, barangan kami akan selamat di atas rumah rakit.
Sebelum ini, penduduk hanya mampu membuat rak di dalam rumah kerana kos membina rumah rakit terlalu tinggi,” katanya.
Hirwan menempatkan burung hiasan, ayam, dan angsa di rakit khas berbumbung yang dibina khusus untuk haiwan tersebut.
Menurutnya, banjir melanda kawasan itu kira-kira lima kali setahun kerana kampung tersebut berada di hujung bersebelahan Sungai Golok.
MTL, atau musim tengkujuh, yang bermula pada 5 November lalu dijangka berterusan sehingga Mac 2025, dengan Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Sarawak, dan Sabah dijangka mengalami lima hingga tujuh episod hujan lebat
BACA: