Rebah di bawah pokok rambai, ini bukti bahaya berlindung di bawah pohon semasa hujan lebat dan ribut petir

Oleh HADI KAMARUDIN

Elak sama sekali berlindung di bawah pokok semasa ribut petir kerana berisiko tinggi untuk disambar petir memandangkan tubuh manusia adalah konduktor elektrik yang baik.

Bukti bahaya berlindung di bawah pohon semasa hujan lebat terbukti pada satu kes melibatkan seorang buruh ladang warga Indonesia di ladang sawit blok 19 lot individu Felda Jengka 14, Maran pada 24 April lalu.

Mangsa dikenali sebagai Kamarudin, 40, maut ketika berlindung di bawah sebatang pokok rambai ketika hujan kira-kira pukul 1 tengah hari.

Menurut Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber, mangsa dipercayai telah dipanah petir.

“Berdasarkan temubual dengan rakan sekerja mangsa mengatakan semasa kejadian, dia dan mangsa berehat di bawah pokok rambai kerana hujan sebelum dia berpindah ke bawah pokok sawit berdekatan kerana masih terkena hujan.

Rebah di bawah pokok rambai, ini bukti bahaya berlindung di bawah pohon semasa hujan lebat dan ribut petir

“Tidak lama kemudian rakan mangsa ternampak cahaya dengan bunyi kuat mengenai kepala mangsa yang masih berada di bawah pokok rambai dan mangsa terbaring tidak sedarkan diri,”katanya, lapor Kosmo!

Mohamad Zamri berkata, polis yang menerima panggilan pada pukul 1.30 tengah hari bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati mangsa terbaring tidak sedarkan diri.

Jelasnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk bedah siasat dan pemeriksaan luaran ke atas tubuh mangsa mendapati tiada sebarang kesan lebam atau luka yang boleh dikaitkan dengan perbuatan khianat.

“Pemeriksaan di kawasan persekitaran mendapati terdapat kesan pada pokok rambai dipercayai terkena panahan petir,” katanya lagi.

Baca:

Aksi mesra dan cium tersebar, nama Rossa Sera kembali dipetik?

Didakwa bawa kereta secara haram, Aliff Aziz tiada lesen memandu?

Pentingkah ambil tahu pasal akaun 3 KWSP? Tunggu pengumuman Khamis ini