Pundi kencing dan kemaluan di badan kembar, ini cerita sebenar bayi ‘enam kaki’.
Tular satu video dalam media sosial yang menunjukkan seorang bayi dilahirkan dengan ‘enam kaki’ di Hospital Soedjono Selong, Lombok Timur, Nusa Tenggara Barat.
Jurucakap hospital tersebut, H. Bardan mengesahkan video itu dan memaklumkan kes berkenaan melibatkan kelahiran bayi kembar siam.
Namun, hanya seorang bayi yang dilahirkan, manakala seorang lagi ‘gagal terbentuk dengan sempurna’.
Susulan itu, bayi lelaki tersebut kelihatan seperti mempunyai enam kaki.
“Kembar bayi lelaki itu bersifat ‘parasitic’ yang tidak mempunyai kepala dan hanya memiliki sepasang kaki serta tangan yang masih belum terbentuk sempurna.
“Kesemua anggota badan itu perlu dipisahkan dari badan kembarnya menerusi pembedahan.
“Namun, prosedur tidak mudah dilakukan kerana pundi kencing dan kemaluan bayi lelaki itu berada pada bahagian badan kembarnya yang tidak sempurna,” katanya.
Bardan menjelaskan, pihak hospital masih melakukan perbincangan rapi mengenai pembedahan tersebut kerana ia berisiko tinggi.
“Banyak perkara yang perlu diambil kira bagi memastikan pembedahan itu berjalan lancar dan bayi lelaki berkenaan dapat diselamatkan.
“Ketika ini, kami masih menunggu lampu hijau daripada pihak atasan untuk melakukan pembedahan itu,” ujarnya.