Tak pasal-pasal seorang peniaga air balang di sekitar Taiping dan Kamunting dilihat warganet macam tak percaya rezeki yang Allah beri.
Apa tidaknya, mesej peribadi peniaga itu kepada Amir Raja Lawak yang dikongsikan pelakon berkenaan mengejutkan orang ramai.
Peniaga air balang itu walaupun tidak secara berterus-terang mengusir Amir daripada berniaga berdekatan gerainya memberitahu pendapatannya terjejas sejak kehadiran pelakon berkenaan.
Dakwanya lagi, pelanggan tetap dia sudah beralih membeli air dengan Amir mengakibatkannya hilang pendapatan selain faktor musim hujan.
Bagaimanapun, peniaga itu ‘menghalau’ dengan menggunakan bahasa yang elok malah memohon maaf serta berharap Amir tidak berkecil hati serta dalam masa sama mendoakan kejayaan perniagaan atas jenama Air Jagung Amirreka itu.
Perkongsian Amir di Facebook mengenai cabarannya berniaga itu sejak malam tadi menarik perhatian warganet dengan lebih 400 komentar dan kira-kira 2,000 tanda suka dan sedih hanya selepas 9 jam dimuatnaik.
Rata-rata netizen mengkritik sikap peniaga air balang itu selain ada juga mendoakan kedua-dua pihak dipermudahkan dan dimurahkan rezeki.
“Rezeki masing-masing. Bukan sebab Amir datang sana, air balang dia tak laku. Pandailah buat marketing.
“Kalau percaya rezeki itu dari Allah, takkan kata macam tu. Kalau percaya rezeki dari pelanggan macam tu lah (‘halau’ Amir).
“Tauhid takde, memang tak yakin rezeki Allah beri. Esok kalau Amir dah tak niaga dan kedai dia pun masih takde orang datang beli, tu salah siapa? Nak salahkan Amir jugak?!
“Allahhuakhbar. Percayalah pada rezeki yang Allah dah tetapkan. Moga dipermudahkan kedua-dua belah pihak. Insya-Allah,” demikian antara kata netizen.
Susulan mesej peribadi itu, Amir tampil memohon maaf jika kehadirannya berniaga di situ menyinggung peniaga terlibat.
Amir atau nama sebenarnya Mohammad Amirullah Azmi berharap pelanggan tetap peniaga air balang itu agar meneruskan sokongan kepada peniaga-peniaga jalanan yang sudah biasa mereka berurusan.
“Saya datang niaga di Taiping / Kamunting ni pun santai-santai je, tak adalah nak tekan nak buat sale sangat.
“Sebenarnya sambil bantu sahabat lama saya untuk promosi kedai dia di sini. Dia lagilah struggle sebab overhead yang ditanggung terjejas.
“Saya pun ada kerja lain juga nak selesaikan di sini dengan sahabat saya ni, itu yang saya datang sini,” katanya menerusi hantaran di Facebook miliknya.
Dalam masa sama, Amir mengakui ramai peniaga sekarang terkesan tetapi berharap tidaklah kesalahan diletakkan terhadapnya 100 peratus.
“Saya datang niaga di sini sekejap je, last niaga hari Sabtu 30 September ni.
“Didoakan agar segala urusan kita semua dipermudahkan dan dilimpahkan rezeki selalu, aamiin,” tulis Amir lagi.
Baca:
Kisah lelaki tua setahun baru terjawab, jurugambar ini kongsi foto paling mengesankan
Boleh pula buang ‘pampers’ anak di air tejun, ini 10 fakta tentang sungai di negara kita wajib tahu
Dah macam cerita Doraemon, heboh penyembur udara Jepun ini mampu halau tenaga negatif