Suami kepada pelakon Indonesia Jennifer Coppen, Yitta Dali Wassink, atau lebih dikenali dengan panggilan Papa Dali, telah meninggal dunia pada Khamis lalu, 18 Julai 2024 di Bali.
Lelaki ini, yang juga seorang pempengaruh terkenal di Indonesia, meninggal dunia akibat kemalangan selepas hilang kawalan ke atas superbike yang dinaikinya di Jalan Sunset Rd., Kuta, Bali.
Apa yang menjadi perhatian ramai ialah Dali, yang telah memeluk Islam semasa menikahi Jennifer, telah menjalani upacara pengebumian yang tidak mengikut ajaran Islam dan mayatnya telah dibakar.
Susulan itu, pengguna media sosial telah mempertikaikan tindakan keluarga Jennifer yang didakwa
Tidak mempertahankan jenazah suaminya daripada dibakar dan tidak mengikut tatacara pengebumian Islam.
Siapa Dali Wassink dan kronologi kematiannya
Dali Wassink, yang berketurunan Belanda dan Thailand, dilahirkan pada 6 Jun 2002. Beliau merupakan seorang model dan pempengaruh yang sangat terkenal di media sosial.
Dali bernikah dengan Jennifer Coppen pada 10 Oktober 2023. Perkahwinan mereka menarik perhatian netizen kerana perbezaan umur yang ketara iaitu 11 tahun antara Jennifer dan Dali.
Ketika bernikah, Dali telah memeluk Islam dan merupakan seorang mualaf. Beliau juga sering berkongsi di media sosial mengenai usahanya mempelajari agama Islam.
Dali dan Jennifer dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Kamari Sky Wassink, yang dilahirkan pada 22 Disember 2023.
Namun, kebahagiaan pasangan ini terputus pada 18 Julai 2024 apabila Jennifer mengumumkan bahawa suaminya telah meninggal dunia akibat kemalangan.
“Innalillahiwainnailahirojiun. Telah berpulang ke rahmatullah suami tercinta saya, Yitta Dali Wassink, pada hari Khamis jam 02.20 WITA,” kata Jennifer.
Menurut Ketua Perhubungan Awam Polis Bali, Kombes Jansen Avitus Panjaitan, ketika kemalangan tersebut berlaku, Dali dikatakan membawa motosikalnya dengan kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan. Jansen turut memberitahu bahawa Dali, yang menaiki motosikal jenama Kawasaki, telah terjatuh tanpa melibatkan kenderaan lain dan mengalami kecederaan parah di dada, tulang rusuk, dan belakang badan.
Dali kemudiannya dikejarkan ke Hospital BIMC, Kuta tetapi tidak dapat diselamatkan dan telah diisytiharkan meninggal dunia di sana.
Kontroversi mayat Dali Wassink dibakar
Melalui Instagram Story, Jennifer berkongsi bahawa keluarganya akan mengadakan upacara “paddle out” untuk menaburkan abu jenazah suaminya di Pantai Lembeng, Bali pada hari Ahad.
Mayat Dali telah dibakar pada hari Jumaat, 19 Julai lalu, dan ini telah menimbulkan persoalan di kalangan netizen mengenai keputusan keluarganya memandangkan Dali telah memeluk Islam.
Ketika upacara “paddle out” dijalankan, Jennifer menjelaskan sebab di sebalik keputusan untuk membakar mayat suaminya. Menurut Jennifer, walaupun suaminya telah memeluk agama Islam dan sedang mempelajarinya, dia masih baru dalam agama ini dan mungkin belum memahami sepenuhnya ajaran Islam.
“Memang suami saya telah memeluk Islam dan sedang mempelajari agama ini. Tapi kerana dia masih baru, mungkin dia belum memahami sepenuhnya. Dia juga pernah berkongsi tentang membaca bismillah dan salam, tapi mungkin belum sepenuhnya mengerti,” jelas Jennifer.
Jennifer turut menambah bahawa keputusan untuk membakar mayat suaminya adalah permintaan terakhir Dali. Oleh itu, Jennifer dan keluarganya memutuskan untuk menghormati permintaan tersebut tanpa menjadikannya isu perdebatan.
“Itu adalah permintaan terakhir Papa Dali untuk dikremasi. Jadi, tolong hargai keputusan tersebut,” tambahnya.
Jennifer, yang juga beragama Islam, menegaskan bahawa dia turut mengadakan acara tahlil untuk mendoakan suaminya.
“Aku cuma mau lurusin. Ada yang bilang aku tidak bikin tahlilan, padahal aku bikin. Bikin di rumah,” katanya.
Melalui Instagram, Jennifer juga berkongsi video tahlil yang dilakukan bersama anak-anak yatim untuk suaminya dan menyatakan dia akan terus melakukan amalan tersebut.
Semoga allahyarham dicucuri rahmat dan segala amalannya diterima oleh Allah. Semoga Jennifer diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian ini.
BACA: Kalau tiada ilmu, silap-silap boleh jatuh haram, ustaz perjelas kes 2 imam dalam 1 masjid