Solat berjemaah memberikan pahala yang berganda, lebih-lebih lagi apabila dilakukan di masjid, yang merupakan simbol penyatuan umat Islam.
Namun, kekeliruan timbul apabila sebuah masjid atau surau mempunyai lebih daripada satu imam pada satu masa.
Ada di antara masyarakat yang lebih selesa solat berjemaah bersama rakan atau keluarga mereka.
Untuk menjelaskan kekeliruan ini, pihak pengurusan Masjid Bandar Seri Putra telah berkongsi penjelasan di laman TikTok.
Menurut mereka, solat tetap sah dan pahala jemaah tetap diperoleh jika kita menyertai jemaah yang sedia ada.
Nabi Muhammad SAW menyebut bahawa jemaah yang lebih besar mempunyai lebih banyak fadhilat.
Namun, perkara ini boleh menjadi haram jika terdapat imam lantikan rasmi yang memimpin solat jemaah dan kita tiba-tiba mengadakan jemaah baru secara berasingan. Ini boleh menimbulkan fitnah dan menjejaskan imej umat Islam, menyebabkan masjid tampak berpecah belah.
Ustaz Mohd Rasyidi Ali menjelaskan bahawa terdapat situasi tertentu di mana lebih daripada satu imam dibenarkan, seperti di surau kawasan rehat dan rawat (R&R), pusat beli-belah, dan tempat lain yang tiada imam lantikan rasmi.
Dalam keadaan ini, dua imam atau lebih boleh ada pada satu masa jika diperlukan.
Di masjid, kita perlu menghindari perselisihan duniawi dan tetap neutral. Masjid adalah tempat penyatuan umat, jadi jangan merosakkan keharmonian akibat perbezaan politik.
Dalam video yang dikongsikan, ditunjukkan jemaah yang dipimpin imam rasmi telah selesai solat. Di ruangan komen, dinyatakan bahawa tiada kesalahan jika terdapat lebih dari satu jemaah solat serentak di masjid asalkan tidak melibatkan imam rasmi.
Namun, sangat disarankan untuk mereka yang datang kemudian agar menyertai jemaah yang sedia ada, kerana solat berjemaah yang ramai memberikan ganjaran dan rahmat Allah yang lebih besar.
BACA:Â 100 cawangan KFC seluruh negara ditutup, ini penjelasan QSR Brands