Realtime website trackingweb stats

Pekerjaan ini akan pupus dalam masa terdekat, pensyarah dakwa Malaysia dalam krisis

Oleh FATIN AQILAH

Pekerjaan ini akan pupus dalam masa terdekat, pensyarah dakwa Malaysia dalam krisis.

Pensyarah kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad, melahirkan kebimbangan tentang banyak sektor perkerjaan akan pupus dalam masa terdekat.

Menulis di laman facebooknya, Anuar berkata Malaysia dilihat belum bersedia berhadapan situasi itu malah sistem pendidikan negara dakwanya kini berada dalam krisis.

Akibatnya, masyarakat akan rugi khususnya anak muda.

Berikut tulisan penuh beliau.

Semalam saya di sebuah hotel lima bintang Kuala Lumpur. Masuk ke lobi, tiada lagi kaunter untuk check in. Tiada lagi kaunter reception dan staf bertugas. Semuanya dilakukan secara DIY. Tanpa bantuan sesiapa, proses daftar masuk berjalan lancar, lebih mudah dan teratur. Cukup mesra penguna.

Ini satu contoh bagaimana pekerjaan yang dianggap penting pada masa lalu sudah tidak wujud lagi. Bukan sahaja di kaunter hotel, semua jenis kaunter juga akan digantikan dengan ‘mesin’. Di tol lebuh raya, bayaran parking, pesanan makanan di McD malah nak naik kapal terbang pun, semua urusan pesanan, daftar masuk, membuat bayaran akan diuruskan secara DIY.

Puluhan ribu pekerjaan seperti ini akan pupus. Malah banyak lagi pekerjaan rutin yang lain juga akan pupus. Ambil satu contoh, akan tiba masanya bila amalan sewa kereta secara kontrak 3-5 tahun menjadi amalan masyarakat, pemilikan kereta individu akan pupus. Orang sudah tak beli kereta dan bayar ansuran setiap bulan lagi pada bank. Orang akan menyewa kereta sahaja. Cukup tempoh, tukar kereta baru. Orang sudah tidak baiki kereta lagi. Kerja mekanik akan pupus. Perniagaan alat ganti kenderaan juga akan pupus.

Kaunter di sebuah hotel yang digantikan dengan kaunter ‘mesin’. -Foto Anuar Ahmad

Banyak lagi kerja lain akan pupus apabila teknologi AI, automasi dan robotik menjadi semakin maju.

Soalnya, apa persiapan pendidikan negara dalam menghadapi fenomena ini? Masihkah bertegas nak amalkan kurikulum abad 20? Masih berdegilkah nak amalkan sistem peperiksaan berasaskan hafalan? Masihkah nak pertahankan sistem pengajaran cara lama? Nak kekalkan buku teks? Nak teruskan silibus yang membosankan dan menakutkan murid? Apakah persiapan kita?

Sebab itu saya berulang kali sebut, biarlah kita terima hakikat sistem pendidikan negara dalam krisis. Terima dahulu hakikat yang sistem pendidikan sedang caca marba. Biar kita akui dulu hakikat ini. Jika lambat sedar, maka lebih lambatlah untuk kita menyiapkan perubahan pendidikan. Pasti akan lebih ramai generasi muda negara kita yang kerugian.

Baca:
Ramai tak tahu rupanya arwah Raymond Goh seorang muslim, netizen mula kongsi detik perkenalan, termasuk artis popular
Tulis terbalik pun tulisan jururawat ini cantik, kebolehan yang hanya ada pada si tangan kidal
Rimas banyak tahi cicak di rumah? Rupanya guna lampu kuning lebih baik daripada lampu putih