Seorang peniaga makanan mengeluh warungnya hari-hari sunyi tanpa pengunjung hinggakan nak dapatkan RM100 pun payah.
Mengulang banyak kali ungkapan “tak faham”, lelaki berkenaan tertanya-tanya sama ada warungnya kena sihir.
Baginya, harga makanan yang ditawarkan sudah cukup murah dengan hanya RM6.50 bagi hidangan lengkap lauk, nasi dan air.
“Jual murah pun tiada siapa nak datang. Tak tahulah kena santau ke, kena sihir ke, kawasan tak strategik ke, tak tahulah,” keluhnya.
Menerusi rakaman video yang tular, warungnya di Tanjung Agas, Muar itu dilihat di tepi jalan besar dengan banyak dilalui kenderaan.
“Hari-hari begini (tiada pelanggan). Nak dapatkan RM100 pun payah. Aduhai… Lauk pula bukan ‘biashe-biashe’ punya lauk,” kata penjual itu sambil menunjukkan pilihan lauk yang ada.
Beliau menunjukkan kesemua tujuh jenis lauk yang dihidangkannya iaitu ayam masak kunyit, ikan keli masak sambal hijau, sambal paru dan kentang goreng, sambal udang dengan kentang, masak lemak daging, kari ayam serta asam pedas siakap.
“Kadang aku tak faham orang Malaysia ni. Bila jual murah, tak nak datang. Bila jual mahal, korang bising. Hai… tak paham aku,” keluhnya lagi mengulang kata ‘tak faham’.
Menurutnya, sepanjang enam bulan berniaga di situ hanya sekali ramai pelanggan datang ke warungnya selepas buat hebahan di TikTok.
Selain hari itu, dakwanya, mahu dapatkan 10 pembeli satu hari pun susah.
“Doa dah doa dah. Aku serahkan pada Allah Taala. Kalau tak boleh tahan, aku tutup,” katanya lagi.
Baca:
Pemilik restoran sotong cekik darah RM50 dah kena serbu,ini kata KPDN wajib peniaga lain baca
‘Gula itu tenaga…’ – Penjual air balang susu ini ‘bantu’ orang ramai cepat potong kaki