Bendera merupakan lambang maruah bagi sesebuah negara. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan mencintai negara, kita seharusnya menjaga dan menghormati bendera negara kita.
Pada zaman penjajahan British dahulu, langkah pertama yang diambil oleh pihak British adalah memasang bendera “Union Jack”.
Ini dipasang sebagai tanda penghormatan yang menandakan bahawa Tanah Melayu telah jatuh ke tangan mereka.
Perbuatan memasang bendera Jalur Gemilang secara terbalik tidak seharusnya berlaku kerana ia boleh dianggap sebagai penghinaan
terhadap pejuang-pejuang negara yang telah menggadaikan nyawa mereka untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajah.
Jadi, sempena Hari Malaysia dan untuk menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri, berikut adalah perkara yang perlu anda tahu tentang cara yang betul dalam mengendalikan bendera serta rahsia bendera seperti yang telah dikongsikan oleh Halim Mohd Ali:
20 perkara yang perlu kita tahu mengenai rahsia bendera dan adab-adab sewaktu mengendalikannya:
1. Jika bendera hendak dipasang pada tiang besar seperti pada bangunan pejabat atau sekolah, ia hendaklah dinaikkan menggunakan tali pada pagi hari dan diturunkan pada petang hari. Lazimnya di Malaysia bendera dinaikkan pada jam 7 pagi dan diturunkan sebelum jam 7 malam.
2. Sewaktu dinaik dan diturunkan, bendera tidak boleh dibiarkan meleret ke tanah. Sama ada ia ditatang atau diselipangkan di bahu.
3. Orang yang menaik dan menurunkan bendera hendaklah berpakaian kemas. Tidak boleh pakai pakaian yang menjolok mata, atau pakai kain sarung yang disenteng ke paras lutut, tidak berbaju, tidak berkasut dsbnya. Jangan hisap rokok atau vape semasa menaikkan bendera.
4. Bendera hendaklah dinaikkan perlahan-lahan. Diturunkan pun perlahan-lahan. Jangan tergesa-gesa.
5. Orang yang berada di sekitar tiang tersebut hendaklah berdiri sewaktu bendera dinaikkan.
6. Jika ada kematian pembesar dan bendera hendak dikibarkan separuh tiang, maka ia hendaklah dinaikkan hingga ke puncak dulu, kemudian diturunkan perlahan-lahan ke separuh tiang, tanda berkabung.
7. Bendera tidak boleh dikibarkan dalam gelap. Jika mahu dikibarkan pada malam hari, maka bendera perlu disuluh dengan ‘spot light’.
8. Bendera tidak sesekali boleh dibiarkan mencecah tanah. Ini tanda tidak hormat kepada negara.
9. Bendera tidak boleh dibuat kain kelubung untuk menutup kepala pada hari panas.
10. Bendera tidak sama sekali boleh dibuat lapik duduk. Oleh itu paling tidak sesuai jika bendera dijadikan seluar.
11. Bolehkah bendera dibuat baju? Boleh dengan syarat memotong kain lain yang mempunyai warna bendera. Tidak sepatutnya bendera dipotong untuk dibuat baju. Memotong bendera bererti tidak menghormati negara.
12. Bendera tidak sama sekali boleh dibuat stokin atau kasut / selipar. Kita lihat banyak juga selipar yang dicetak bendera Union Jack. Itu adalah perbuatan tidak hormat pada bendera. Jangan ikut Mat Saleh bodoh.
13. Jika bendera hendak dipasang pada kereta, pastikan ia dipasang teguh. Banyak yang tercabut dan jatuh ke jalan sehingga dilenyek kenderaan lain. Ini tidak menghormati bendera. Jika dipasang pada kereta pastikan ia diikat atau dilekatkan dengan kuat.
14. Jika hendak dipasang pada lori atau bas, pastikan tidak terlalu besar hingga mengganggu pengguna jalanraya lain. Kita suka pasang yang besar-besar. Apabila lori berhenti di lampu merah, benderanya menutup muka penunggang motorsikal. Ini sungguh tidak bertimbang rasa.
15. Bendera boleh digunakan untuk selimut pemenang sukan tanda kejayaan negara, tapi awas… jangan sampai meleret ke tanah.
16. Bendera boleh digunakan untuk menutup keranda perajurit, tetapi jangan bawa masuk ke dalam liang kubur.
17. Jangan pijak bendera negara sendiri atau bendera negara orang lain. Jika ada rakyat negara jiran yang pijak bendera kita, jangan ikut. Mereka memang tolol. Kita cerdik. Jika kita ikut mereka, kita juga akan dilihat tidak cerdik.
18. Bendera yang telah lusuh warnanya, atau telah koyak akibat dikibarkan terlalu lama hendaklah dimusnahkan. Cara musnahkan bendera ialah dengan dibakar. Jangan buang bendera lama di tong sampah atau tong kitar semula.
Jangan kibarkan bendera yang lusuh atau yang sudah koyak atau tinggal separuh. Nampak sangat sengkek dan lekehnya kita.
19. Bendera yang masih cantik dan sempurna jangan dibakar. Meskipun bendera itu kita beli dangan wang kita sendiri. Membakar bendera adalah tanda tidak hormat kepada negara. Ingat yang kita beli hanya kain, yang kita bakar adalah simbol maruah negara.
20. Bolehkah bendera digantung terbalik? Boleh. Itu tandanya negara berada dalam keadaan bahaya (distress). Jadi jika negara tidak dalam keadaan bahaya, jangan diterbalikkan bendera.