Realtime website trackingweb stats

Kisah lelaki tua setahun baru terjawab, jurugambar ini kongsi foto paling mengesankan

Oleh AHMAD ISMAIL

Jurugambar jalanan sambilan, Kathiresh Balakrishnan berkongsikan kisah seorang lelaki tua Cina yang pernah dirakam lensanya secara rawak pada tahun 2019.

Katanya, gambar sebuah kedai tua itu paling bermakna yang pernah dirakamnya apabila selepas setahun beliau memuat naik gambar itu di akaun Instagramnya @seremban.streetist, berlakukah satu peristiwa yang mengesankan hatinya.

“Pada 2019, saya sedang berjalan kaki di sebuah lorong di Seremban bersama kamera DSLR di tangan.

“Kemudian, saya terlihat sebuah kedai lama, dipercayai berusia lebih daripada 70 tahun dan di hadapannya, terdapat seorang lelaki tua Cina yang sedang duduk di atas sebuah motosikal kapcai.

“Di mata saya, situasi tersebut nampak begitu asli dan menarik, lalu saya terus merakamnya,” katanya, dipetik Kosmo.

Menurutnya, setahun kemudian selepas berkongsikan foto itu, salah seorang ahli keluarga lelaki tua itu terjumpa Instagram Kathiresh dan memaklumkan bahawa lelaki tua itu sudah pun meninggal dunia.

“Mereka meminta saya untuk berkongsi salinan foto tersebut untuk disimpan dan lebih membuatkan saya sedih adalah menurut keluarga pak cik itu, dia biasanya tidak membenarkan sesiapa pun merakam gambarnya.

“Namun, entah mengapa, pak cik itu memberikan izin kepada saya untuk merakam gambarnya pada hari tersebut sambil tersenyum.

“Insiden itu memberikan saya inspirasi untuk terus merakamkan gambar sebanyak mana yang boleh memandangkan apa yang ada hari ini, mungkin tiada lagi esok dan ia menyedarkan saya betapa pentingnya menyimpan memori begini,” katanya.

Sejak itu, sudah menjadi rutin Kathiresh, 32, yang juga ahli fisioterapi menghabiskan pagi Sabtu atau Ahad sambil ditemani kamera DSLR di tangan.

Beliau berjalan di sekitar Seremban, Negeri Sembilan yang juga merupakan tempat kelahirannya sambil mengabadikan wajah ibu negeri itu.

Baca:

Tiga negeri ini paling tinggi rekod perkahwinan bawah umur, trend makin membimbangkan

Pulau yang makin tenggelam, jiwa pelaut sejati tak gentar, rupanya ini sebab penduduk enggan berpindah

Anak patung ditangkap dan digari, ‘Chucky’ rupanya dipuja takutkan orang ramai