Realtime website trackingweb stats

Pulau yang makin tenggelam, jiwa pelaut sejati tak gentar, rupanya ini sebab penduduk enggan berpindah

Oleh FATIN AQILAH

Sebuah pulau di Indonesia yang terletak nun berjam-jam dari daratan sebenarnya makin ditenggelami laut kesan pemanasan global.

Pulau Mensemut jaraknya dua jam perjalanan dari pulau Lingga. Ini merupakan pulau paling hujung dari Lingga dengan di timurnya adalah pulau Borneo.

Puluhan tahun lalu, pulau tersebut luas tetapi tahun demi tahun tanahnya semakin ditelan hakisan ombak.

Dihuni rumpun Melayu dari suku Laut dengan loghatnya mirip Melayu Semenanjung Malaysia, penduduk di pulau itu tidak perlu pergi terlalu jauh untuk menangkap ikan.

Malah, hidupan laut seperti sotong dikatakan melompat masuk dalam bot sahaja menggambarkan betapa kayanya khazanah laut yang menjadi sumber rezeki penduduk tempatan.

Mudahnya penduduk yang rata-ratanya nelayan mencari rezeki menjadi sebab mereka enggan berpindah walaupun telah diarah pihak kerajaan.

“… kerana penghasilan ada di sini. Tempat yang terdekat untuk menangkap ikan.

“Suku Laut ini umpama burung camar. Kalau diberi buah, dia tidak makan,” kata penduduk ketika ditemubual YouTuber ketika ditanya mengapa enggan berpindah.

Pergerakan angin utara dan selatan di pulau itu mempengaruhi aktiviti penduduk Pulau Mensemut yang kini berbaki kira-kira 30 rumah.

Bergantung pada air hujan sebagai sumber minuman, terdapat binaan surau kayu bercat biru yang dilihat bila-bila masa saja juga akan ditelan ombak.

Menerusi perkongsian video di saluran Kacong Explorer yang dimuatnaik pada 23 Ogos 2023, penduduk yang ditemui menunjukkan kesan dahsyat hakisan ombak.

Akibatnya, banyak struktur menyembah bumi termasuk bangunan sekolah rendah dan rumah penduduk kampung. Sejumlah kubur juga terpaksa dipindahkan ke tengah demi mengelak hilang dihanyutkan ombak.

Penduduk juga memberitahu banyak pokok besar sudah tumbang dan pada masa ini hanya tinggal baki hutan dengan pohon kayu tinggi sebagai penahan ombak dan angin.

Pantai semakin menghampiri rumah penduduk di Pulau Mensemut yang semakin mengecil. Beberapa rumah sudah roboh diterjang ombak.

Mereka yang kesemuanya penganut Islam masih bertahan di rumah kayu masing-masing dengan berdepan angin kencang.

Baca:

Penjawat awam bakal nikmati kenaikan gaji dan bonus, besar juga jumlah yang Ceupacs cadang

Pulih sepenuhnya kanser tahap 4, pengalaman remaja hafaz al-Quran ini mengagumkan

Muka macam Sudirman, ramai kagum, penampilan penyanyi ini mengubat rindu rakyat Malaysia