Realtime website trackingweb stats

Jika masih bazir makanan, mereka sudah terpaksa kisar makanan haiwan elak kebulur

Oleh FATIN AQILAH

Jika anda atau ahli keluarga masih lagi tidak rasa bersalah membazirkan makanan, ada baiknya ambil tahu apa yang berlaku di Gaza, Palestin sekarang.

Tersebar video memaparkan sekumpulan kanak-kanak di sekolah sedang membersihkan dan mengasingkan sisa makanan haiwan untuk dikisar.

Hasil kisaran makanan haiwan itu demi mendapatkan tepung lantaran tiada apa lagi dapat dijamah untuk mengalas perut.

Jika masih bazir makanan, mereka sudah terpaksa kisar makanan haiwan elak kebulur

Perang genosid yang memasuki hampir empat bulan menyaksikan penduduk dizalimi Israel itu terdesak apabila terpaksa mengisar makanan lembu, kuda dan biri-biri.

Langkah itu terpaksa mereka lakukan untuk dijadikan tepung bagi membuat roti ketika penduduk berdepan dengan ancaman kebuluran yang semakin meningkat.

Penderitaan semakin meningkat dari hari ke hari apabila pengganas Israel menyekat penghantaran bantuan dan agihan makanan.

Tular juga perkongsian menunjukkan penduduk Gaza mengendalikan jentera pengisar bagi memproses makanan haiwan untuk dijadikan tepung.

“Apabila kamu tak pernah rasa apa yang dimaksudkan dengan kelaparan, kamu tak akan faham.

“Makanan haiwan macam lembu, kuda dan biri-biri dikisar untuk dijadikan tepung! Saya cakap tepung, bukan benda lain. Beras pun sudah kehabisan stok.

“Tolonglah bertindaklah, kami nak beritahu kamu kami mati kebuluran,” kata Ahmed Kouta menerusi Instagram.

Wartawan Gaza, Yousef Al-Helou juga berkata, penduduk Gaza terpaksa mengisar makanan haiwan dan bijirin burung akibat kekurangan gandum.

“Penduduk Gaza kelaparan kerana hampir empat bulan Israel menyekat kemasukan barangan dan bantuan kemanusiaan,” katanya.

Sementara itu, Nooh Al-Shaghnobi pula berkongsi rakaman video menunjukkan keadaan di tepi pantai penuh sesak dan riuh rendah dengan orang ramai yang terdesak mendapatkan tepung dari trak bantuan yang tiba.

Dalam rakaman itu, turut terdengar bunyi tembakan dipercayai dilepaskan tentera penceroboh Israel ke arah penduduk yang kebuluran itu.

“Tentera penjajah melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang cuba mendapatkan makanan.

“Penduduk di sini tidak mempedulikan nyawa mereka lagi kerana hanya mahu mendapatkan tepung untuk keluarga mereka.

“Keadaan ini sungguh memeritkan dan tidak dapat digambarkan lagi,” katanya.

Di tengah-tengah kesengsaraan yang dihadapi, rakyat Palestin di Gaza diuji dengan masalah kebuluran.

Kanak-kanak dan warga emas pula berisiko penyakit berjangkit ekoran krisis kekurangan makanan, ubat-ubatan, makanan dan air bersih.

Sekurang-kurangnya 25,105 rakyat Palestin terbunuh, manakala 62,681 lagi cedera dan ribuan hilang dalam runtuhan bangunan akibat dibom pengganas Israel sejak 7 Oktober lalu.

Serangan pembunuh yang juga sekutu Amerika Syarikat (AS) itu turut mengakibatkan 85 peratus penduduk Gaza kehilangan tempat tinggal.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan sebanyak 60 peratus infrastruktur di wilayah itu rosak atau musnah.

Baca:

Pandangan b*doh soal SPM Youtuber ini dikecam netizen

Satu-satunya aplikasi paling efisyen untuk transfer gambar dari fon ke laptop

Takkan nak bayar loan sampai tua, pergi bank dan buat cara ini