Setiap kali musim Ramadan tiba, gerai Martabak di bazar ramadan jadi salah satu pilihan ‘wajib’ orang ramai untuk beli dijadikan juadah berbuka puasa.
Baru-baru ini ramai netizen mengeluh apabila melihat harga martabak yang semakin melonjak naik
sehinggakan mereka berasa tidak berbaloi lagi untuk membelinya.
Sehubungan dengan itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tampil menjelaskan berhubung isu tersebut.
Menurutnya, isu kenaikan harga murtabak ketika ini disebabkan kos pengimportan, petik Kosmo.
Menurut Timbalan Menterinya, Fuziah Salleh, maklumat tersebut diterima hasil daripada pemantauan di lapangan yang dijalankan oleh pasukan penguatkuasaannya setiap hari.
Katanya, selain bawang India, harga daging import juga naik dan ia memberikan kesan tekanan rantaian secara tidak langsung kepada penjual martabak.
“Berhubung isu tular mengenai martabak naik harga, ia memang disebabkan oleh faktor harga bawang besar dari India diimport ada kenaikan ketara.
“Kami faham margin keuntungan mereka jatuh namun KPDN dimaklumkan bahawa ada yang terus kekal harga meskipun laba (keuntungan) diperoleh tidak banyak seperti dahulu,” kepada pemberita selepas melancarkan Bazar Ramadan Rahmah (BRR) 2024 di Presint 14, semalam.
Terdahulu, ramai warganet meluahkan rasa kekecewaan di media sosial apabila mendapati harga martabak meningkat.
Menurut netizen, jika dahulu sekeping martabak berharga kurang RM5, kini ada peniaga yang menjual menghampiri RM10 sekeping.
“Bergantung kepada pembeli untuk menerima kenaikan harga dengan hati yang terbuka. Kami peniaga tiada pilihan. Mohon maaf kepada semua pelanggan,” kata salah seorang peniaga martabak di Bazar Ramadan Taman Tun Dr Ismail (TTDI) kepada Berita Harian.
Selain martabak, beberapa makanan lain turut naik harga sehinggakan ramai netizen bertindak mahu boikot bazar ramadan pada tahun ini.
Baca Juga: Macam mana nak tahu ajaran agama itu ada ciri ajaran sesat? Mudah je, ketahui 4 sifat wajib ini