Kes pelakon Hafidz Roshdi yang dituduh mencederakan bekas isterinya turut mendapat kecaman secara terbuka daripada kalangan sesama selebriti.
Ini termasuklah pelakon dan penyanyi, Lufya Omar, 38, yang menegaskan bahawa suami yang memukul isteri sebagai lelaki lemah selemah-lemahnya.
“Lelaki yang angkat tangan kepada perempuan itu lemah! Lemah selemah-lemahnya. Tugas anda untuk melindungi wanita, mendidik dan menyediakan keperluan isteri.
“Melainkan parut di muka bekas (isteri) itu disebabkan terlanggar dinding.
“Jadi, itu tidak mengapa,” katanya menerusi komennya yang ditinggalkan pada sebuah video yang menunjukkan Hafidz hadir ke Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu, untuk sebutan semula kes mencederakan bekas isterinya, Nurul Shuhada, semalam.
Malah, pemilik nama sebenar kepada Lutfyah Sheikh Omar itu juga menyertakan emoji sedih mencerminkan beliau turut terkesan apabila ada lelaki tergamak bersikap melampau terhadap wanita.
Rata-rata termasuk kaum Adam turut bersetuju dengan pandangan yang disuarakan Lutfyah termasuk menyifatkan ‘parut’ pada hati yang ditinggalkan itu sukar untuk hilang.
“Dia ingat boleh isytihar sakit mental tapi rupanya doktor check dia manusia normal. Kelentong tak menjadi.
“Betul. Macam orang tidak ada iman. Sanggup pukul isteri sampai cedera,” kata seorang netizen.
“Ayah kita bagi anaknya bukan untuk dilanyak-lanyak (dipukul),” kata seorang lagi pengguna media sosial,” demikian kecaman netizen.
Kes Hafidz gempar diperkatakan orang ramai apabila Nurul Shuhada pada 2 Mac lalu membuat laporan polis selepas mendakwa ditumbuk oleh mantan suaminya itu beberapa kali sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian pipi.
Aktor berkenaan kemudiannya didakwa atas pertuduhan mencederakan isterinya ketika itu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya, dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman maksimum dua kali ganda bagi sabitan di bawah Seksyen 323.
Namun, pada 13 Mac lalu, Hafidz mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menumbuk pipi kiri Nurul Shuhada sebanyak tiga kali di susur keluar Plaza Tol Sungai Buaya.
Selanjutnya, Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam menetapkan pasangan terbabit sah bercerai talak satu pada 27 Julai lalu.
Pada sebutan kes 9 Jun pula, Hafidz disahkan waras dan pertuduhan ke atasnya layak untuk dibicarakan selepas pihak pendakwaan mengesahkan laporan perubatan psikiatri.
Mahkamah pada 4 Oktober lepas menetapkan tarikh baharu perbicaraan kes tersebut pada 6 dan 7 Februari 2024.
Baca:
Siapa kata bilik orang bujang mesti bersepah, pemuda ini kongsi tips kemas dan bersih
Banyak rupanya jenis kontraktor, wanita ini kongsi 5 beza pemegang lesen besar dan kecil
Gempar Paris diserang kutu busuk, Perancis sakan bergelut perangi bencana pepijat