Walaupun kenderaan elektrik (EV) semakin popular di kalangan pengguna global, masih ramai yang tetap mahu
Menggunakan kenderaan berkuasa enjin pembakaran dalaman yang menggunakan bahan api fosil seperti petrol atau diesel.
Peminat kereta konvensional mungkin akan gembira dengan berita terbaru ini, kerana dilaporkan dunia berkemungkinan mempunyai lebihan minyak yang besar menjelang 2030.
Ini disebabkan oleh peningkatan pengeluaran minyak tetapi permintaan berkurangan akibat peralihan kepada tenaga bersih.
Menurut laporan Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), kapasiti bekalan minyak dunia dijangka meningkat kepada 114 juta tong sehari menjelang 2030.
Bagaimanapun, permintaan minyak global dijangka hanya mencapai 106 juta tong sehari pada akhir dekad ini. Ini bermakna pasaran mungkin akan menghadapi lebihan bekalan minyak sebanyak 8 juta tong sehari.
“Memandangkan kesan pandemik semakin reda, peralihan tenaga bersih semakin pesat, struktur ekonomi China berubah, dan pertumbuhan permintaan minyak global semakin perlahan serta dijangka mencapai kemuncaknya menjelang 2030.
Syarikat minyak perlu memastikan strategi dan rancangan perniagaan mereka disesuaikan dengan perubahan ini,” kata pengarah eksekutif IEA, Fatih Birol.
Menurut AFP, jangkaan IEA ini muncul selepas kumpulan pengeluar minyak utama dunia, OPEC+, memberi isyarat bahawa mereka akan meningkatkan semula pengeluaran bermula musim luruh nanti.
Harian Metro melaporkan bahawa IEA menyatakan negara-negara Asia yang pesat membangun seperti China dan India, serta sektor penerbangan dan petrokimia, masih akan memacu permintaan minyak yang dianggarkan berjumlah 102 juta tong sehari pada 2023.
Namun begitu, peralihan kepada kenderaan elektrik, peningkatan kecekapan bahan api untuk kenderaan konvensional, dan penurunan penggunaan minyak di negara Timur Tengah
untuk pengeluaran elektrik akan membantu mengehadkan peningkatan permintaan keseluruhan kepada sekitar empat peratus menjelang 2030. Ramalan untuk 2025 juga diturunkan kepada satu juta tong sehari daripada 1.2 juta tong sehari dalam laporan bulan Mei.
BACA: Mercedes lama terbakar depan rumah jiran, pemilik ‘pengsan berdiri’ bila tuan rumah minta ganti rugi