Dividen KWSP dan nak umum, dijangka lebih tinggi tahun ini

Oleh ADINDA

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen dianggarkan antara 5.5 hingga 6.5 peratus, yang lebih baik berbanding kadar 5.35 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah pada tahun 2022.

Ahli analisis ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, menyatakan bahawa ramalan positif mengenai pembahagian kadar dividen yang lebih baik pada tahun 2023 bergantung pada prestasi KWSP pada suku tahun terkini.

“KWSP memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak RM1.1 trilion. Justeru, dana persaraan nasional ini mempunyai kelebihan dari segi pilihan pelaburan mahupun proses rundingan dengan pengurus dana luar.

“Namun. disebabkan saiz dana pelaburan yang besar, KWSP perlu bekerja lebih keras untuk mendapat pulangan tinggi dari sudut ringgit, walaupun peratusan yang kecil. Misalnya, untuk setiap satu peratus dividen, KWSP dengan aset RM1.1 trilion perlu membayar RM11 bilion dan ini cukup mencabar dalam situasi ekonomi semasa.

“KWSP dijangka memberikan pulangan dividen lebih baik dengan unjuran untuk 2023 adalah antara 5.5 hingga 6.5 peratus,” katanya kepada BH.

Aimi Zulhazmi menyatakan bahawa selain laporan pencapaian KWSP yang cemerlang setiap suku tahun 2023, ekonomi Malaysia juga terus berkembang pada tahun sebelumnya.

“Tambahan lagi, pergerakan pengurusan kanan KWSP berpindah dengan memegang portfolio yang lebih besar di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri pada akhir tahun lalu juga memberikan petunjuk kecemerlangan pengurusan KWSP yang menarik perhatian pucuk pimpinan negara,” katanya.

Dia menyatakan bahawa salah satu cabaran besar KWSP ialah menyeimbangkan pelaburan dalam dan luar negara, khususnya dalam menyokong syarikat tempatan untuk mengembangkan keuntungan dan memajukan negara dari segi aspek pelaburan modal.

“Indeks komposit Bursa Malaysia tidak menunjukkan peningkatan ketara. Indeks pernah melebihi 1,500 mata pada Januari 2022, namun untuk keseluruhan 2023, ia hanya berlegar pada aras 1,400 ke 1,450 mata.

“Ini disebabkan oleh faktor pasaran modal dunia yang terarah kepada Amerika Syarikat (AS) berikutan Rizab Persekutuan (Fed) yang terus menaikkan kadar faedah pada 2023,

“Justeru, ia mempengaruhi pengurus dana asing, terutama untuk mengubah portfolio pelaburannya dari Bursa Malaysia ke negara AS,” katanya.

Walau bagaimanapun, Aimi Zulhazmi menyatakan bahawa beberapa syarikat besar tempatan yang tersenarai di Bursa Malaysia mencatatkan keuntungan yang stabil dalam sektor-sektor seperti perbankan, minyak dan gas, serta pembinaan, walaupun keadaan ekonomi global yang meruncing.

Ini kerana syarikat-syarikat tersebut masih terus membayar dividen dengan baik.

“Jelas ini pasti membantu KWSP merealisasikan pelaburannya dalam syarikat tempatan secara strategik dan mampu memberikan pulangan dividen yang lebih baik kepada pencarum.

“Kebijaksanaan KWSP amat dituntut oleh pencarum, terutama penurunan AUM selepas pelbagai pengeluaran dibenarkan ketika pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya.

Pada masa yang sama, Dr. Mohamad Khair Afham Muhamad Senan, Pensyarah Kanan dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi di Universiti Putra Malaysia, menyatakan bahawa pengumuman kenaikan dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang baru-baru ini diumumkan mungkin menjadi petunjuk untuk kemungkinan kenaikan dividen KWSP juga.

Dia mengatakan bahawa prestasi baik yang dicapai dalam tiga suku pertama tahun ini, disokong oleh ketiadaan pengeluaran khas yang besar, membolehkan KWSP untuk memberikan kadar dividen yang lebih baik berbanding beberapa tahun yang lalu.

“Ditambah dengan keadaan pasaran buruh yang semakin mengukuh (penurunan kadar pengangguran dan membawa kepada kenaikan bilangan pencarum secara keseluruhan).

“Faktor ini menjadikan saiz keseluruhan pelaburan menjadi semakin besar dan menyumbang kepada pulangan lebih besar untuk diagihkan.

“Akan tetapi, secara mutlak, ia tidak boleh dianggap seperti sesuatu yang pasti. Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) bergantung lebih kepada prestasi ekonomi negara, di mana KWSP meletakkan 35 peratus pegangannya menerusi pelaburan luar negara,” katanya.

Mohamad Khair menyatakan bahawa selain daripada ASNB, KWSP juga dianggap sebagai salah satu pelaburan yang sangat stabil dan selamat.

Ini menjadikannya pilihan yang kekal bersaing, dengan jangkaan prestasi yang tinggi berbanding dengan pelaburan jangka panjang seperti deposit tetap.

Baca:

Boleh sewa payung RM2, tak perlu risau berhujan naik LRT, bijak bisnes ini

Masuk 5 bulan serangan Gaza, ramai tentera Israel disahkan jadi gila

Apa dah jadi, minyak paket punyalah susah nak dapat di Malaysia, tiba-tiba dijual terbuka di Thailand