Pengarah dan penerbit terkenal, Datuk Yusof Haslam, memberikan penjelasan mengenai dakwaan bahawa beliau dan isterinya
, Datin Patimah Ismail, gembira dengan berita perceraian anak lelaki mereka, Syamsul Yusof dan Ira Kazar.
Menurut Yusof, 70, atau nama sebenarnya Md. Yusof Md. Haslam, beliau sejujurnya tidak mengetahui tentang hal tersebut dan mendakwa kenyataannya sebelum ini telah dimanipulasikan.
“Jangan salah faham. Ada yang mengatakan saya dan isteri bertepuk tangan, tetapi demi Allah,
kami tidak ada niat begitu dan saya pun tidak tahu perkara ini berlaku.
“Jangan anggap kami gembira dengan berita perceraian ini. Kami reda dengan apa yang berlaku dan tidak mahu mengguris hati sesiapa.
“Sebagai seorang bapa, saya doakan yang terbaik untuk Syamsul, pihak sana (Ira Kazar), dan Sarah. Jika ada kesilapan, betulkanlah,” katanya semasa ditemui di sidang media pertama Festival Filem Malaysia ke-33 (FFM33) di Kompleks Studio Merdeka FINAS, Kuala Lumpur, pada Selasa.
Ditanya sama ada beliau berharap agar Sarah kembali bersama Syamsul, Yusof enggan mengulas lanjut dan menyerahkan segalanya kepada takdir.
“Saya tidak boleh komen tentang itu. Ini semua ketentuan Allah, jadi saya reda sahaja.
“Semalam, Sarah datang berjumpa saya dan isteri. Dia pun terkejut dan tidak tahu tentang perceraian itu, dan hanya mendoakan yang baik-baik,” ujarnya.
Yusof menambah, beliau tidak boleh menentukan sama ada Sarah akan kembali bersama Syamsul atau tidak, dan menyerahkan kepada mereka untuk menentukan kehidupan mereka sendiri.
“Tugas saya hanya mengharapkan dan mendoakan yang terbaik untuk semua pihak,” katanya.
Untuk makluman, Syamsul didakwa telah memfailkan perceraian dengan isterinya, Ira Kazar, di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, pada Isnin.
Tindakan ini difahamkan dilakukan selepas berlaku ketidaksefahaman antara mereka.
Pada Oktober lalu, timbul khabar angin mengenai perceraian pasangan ini, namun tiada sebarang kenyataan atau maklum balas daripada kedua-dua pihak.
Syamsul dan Ira, yang nama sebenar Faghirah Fatini Kazaruddin, berkahwin pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand. Pengesahan perkahwinan itu dibuat oleh Syamsul melalui video yang dimuat naik di Instagram pada Januari tahun lalu.
Sementara itu, Puteri Sarah, sebagai isteri pertama pada ketika itu, telah memfailkan perceraian sebelum berpisah secara rasmi pada 14 Jun tahun lalu.
BACA: Perkahwinan Puteri Raja Pahang, disiarkan langsung di Pasar Sera, Kuantan