Lihat pada penampilan luaran elok saja bertudung dan berkopiah tetapi rupanya jauh menyimpang dari landasan akidah Islam.
Bahayanya ajaran sesat yang cuba meracuni masyarakat Islam di negara ini sebenarnya dipandang serius oleh pihak kerajaan.
Sepanjang 2022 hingga Oktober 2023, sebanyak 51 laporan polis direkodkan berhubung aktiviti kumpulan ajaran sesat atau menyeleweng.
Berikut ini Next Step Malaysia senaraikan ciri-ciri 3 kumpulan ajaran sesat yang merupakan antara fahaman rosak lagi merosakkan sedang dibanteras oleh pihak berwajib:
1. AJARAN SUHAINI @ SIHULK:
– Diasaskan dan dibawa oleh Suhaini bin Mohammad atau Suhai Ibni Mohammad atau Si Hulk yang dipercayai berada di New Zealand.
– Mendakwa Nabi Muhammad SAW adalah Tuhan. Ia terdapat dalam petikan kata-kata Suhaini dalam YouTube bertajuk: Sesat Atau Benar bertarikh 4 April 2020.
– Suhaini juga menganggap Nabi Muhammad SAW tidak mempunyai kemaluan. Kelazatan melihat wajah Allah (wajah Rasulullah) adalah penyebab lahirnya zuriat Nabi SAW yang dikandungkan oleh Saidatina Khadijah RA.
– Ajaran itu turut membuat penipuan terhadap produk-produk yang dikeluarkan seperti air dan botol Si Hulk untuk menarik minat orang membelinya.
– Buat tafsiran yang salah terhadap ayat al-Quran pada surah al-Baqarah ayat 248 dengan menyatakan bahawa kotak Si Hulklah peti tabut yang menjadi rebutan.
– Fatwa Johor diwartakan bertarikh 22 Julai 2021 telah menetapkan SiHulk adalah ajaran sesat, menyeleweng dan bertentangan akidah, syariat serta akhlak Islam.
2. MILLAH ABRAHAM @ IBRAHIM:
– Ada persamaan dengan ajaran kumpulan Negara Islam Indonesia (NII) atau Pemuda Kahfi atau Ad-Deen yang telah difatwa dan diwartakan sebagai menyeleweng pada 31 Mac 2011.
– Fahaman berasal dari Bogor, Indonesia yang diketuai oleh Ahmad Musadeq. Dia pernah membawa aliran sesat Al-Qiyadah yang didirikannya pada 2007. Musadeq juga dikatakan sering hadir ke Malaysia bagi tujuan penyebaran ajaran itu.
– Mula dikesan berkembang di Malaysia pada 2013 setelah aduan diterima oleh Bahagian Perancangan Penyelidikan dan Pembangunan, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
– Pengadu memaklumkan isterinya telah terlibat dengan ajaran sesat ini yang mendakwa tidak perlu sembahyang kerana tidak ditunjukkan cara-caranya di dalam Al-Quran.
– Dalam satu aduan lain, seorang bapa memberitahu beliau ditinggalkan oleh anak dan isteri kerana tidak mahu mengikuti ajaran kumpulan itu yang disyaki menyeleweng dari ajaran Islam sebenar.
– Golongan Millah Ibrahim @ Abraham mendakwa Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW telah lama jatuh sejak tahun 1324 Hijrah ekoran kejatuhan kerajaan Bani Abbasiah akibat serangan puak Monggol ke atas Baghdad yang telah membuang kitab-kitab khazanah Islam ke dalam sungai.
– Atas sebab itu, golongan sesat ini menganggap ajaran Islam yang ada sekarang adalah palsu. Mereka percaya kerajaan Millah Ibrahim akan naik semula dan akan dibawa oleh rasul yang baharu iaitu Ahmad Musadeq sendiri.
3. TARIKAT HABIB SHAH
– Habib Shah Firdaus Habib Ahmad sebelum ini mendakwa Imam Mahdi akan muncul pada Hari Arafah tahun lalu.
– Jabatan Mufti Negeri Sembilan (JMNS) pada 3 Ogos tahun lalu menutup pusat pengamalan tarekat Al-Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah pimpinan Habib Shah Firdaus yang beroperasi di Kampung Jawa, Labu.
– Habib Shah Firdaus didakwa melakukan perbuatan atau amalan yang bercanggah dengan bentuk pengamalan tarekat tasawuf yang direkodkan dalam daftar di bawah perenggan 11(1)(h) Enakmen Tarekat Tasawuf Negeri Sembilan 2005.
Baca :
Jerit marah sambil baca teks, cara Ahli Parlimen ini berbahas jadi bualan warganet
Menteri nak muntah serbu bilik sewa saiz ‘liang lahad’, “memang tiada ciri kemanusiaan”
MYTV dedah punca gantung operasi Awesome TV bermula 2 November