Realtime website trackingweb stats

“Anak hampir maut” – Dijual dengan harga yang murah, minuman ‘slushy’ sebenarnya…

Oleh SHAZLIN AZIZ

Minuman ais berperisa yang lembut dengan pelbagai warna atau ‘Slushy’ sekarang sangat popular di kalangan kanak-kanak.

Walaupun diminati, minuman ini sebenarnya berisiko dan para pakar menasihatkan agar tidak diberikan kepada kanak-kanak yang berumur empat tahun ke bawah.

‘Slushy’ adalah jenis minuman yang diperbuat daripada ais berperisa dan minuman manis, serupa dengan granita tetapi lebih cair.

"Anak hampir maut" - Dijual dengan harga yang murah, minuman 'slushy' sebenarnya...

Ia juga dikenali sebagai slush, slurpee, atau minuman beku.

Minuman ini boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan kanak-kanak, seperti yang baru-baru ini berlaku di United Kingdom di mana dua kanak-kanak, masing-masing berusia tiga dan empat tahun, telah dimasukkan ke hospital selepas meminumnya.

Menurut laporan dalam Daily Mail, minuman ini mengandungi bahan tambahan gliserol yang banyak dijual di pawagam, kedai serbaneka, dan taman permainan.

Gliserol atau E422 dimasukkan ke dalam minuman ini untuk memberikan kesan ‘slushy’ dan sebagai pemanis tanpa gula.

Minuman ini boleh menjadi bahaya kepada orang dewasa dan kanak-kanak.

Dengan hanya meminum 350ml ‘slushy’ dengan paras gliserol tertinggi, ia boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan.

Paras gliserol yang tinggi dalam badan boleh menyebabkan masalah kesihatan serius seperti muntah dan sakit kepala.

Selain itu, minuman ini juga boleh menjejaskan sistem peredaran darah dan menyebabkan organ penting kehilangan fungsi.

Tanda-tanda bahawa seseorang terjejas termasuk kulit pucat, badan sejuk, lembap, serta berpeluh, pernafasan cepat atau lemah, lemah atau pening, loya dan mungkin muntah, dahaga yang teruk dan sentiasa menguap.

Minuman ini juga boleh menyebabkan hipoglisemia atau darah rendah yang boleh menyebabkan gejala seperti lapar, pening, cemas, berpeluh, menggigil, bibir mencucuk-cucuk, keletihan, lemah, dan penglihatan kabur.

Pada tahap yang paling serius, hipoglisemia boleh menyebabkan sawan.

Lebih teruk lagi, kejutan dan hipoglisemia boleh membahayakan nyawa dan dianggap sebagai ‘kecemasan’ perubatan yang perlu dirawat dengan segera.

Dua kes terkini

Seorang ibu menceritakan betapa dia sangat takut anaknya akan meninggal dunia apabila anaknya terjatuh dan pengsan selepas minum minuman slushy.

Beth Green, 24 tahun, dari Nuneaton, Warwickshire, mengalami mimpi ngeri itu ketika anak lelakinya, Albie yang berusia empat tahun, tidak memberikan sebarang respons selepas pulang dari sekolah pada bulan Oktober yang lalu.

Sebelum itu, Albie sedang bermain boling dengan seorang kawan, tetapi tiba-tiba pengsan selepas meneguk minuman slushy berperisa strawberi.

"Anak hampir maut" - Dijual dengan harga yang murah, minuman 'slushy' sebenarnya...

Pada mulanya, Beth menganggap Albie yang duduk di belakang kereta kelihatan lelah dan tidak selesa.

Kejadian ini berlaku selepas seorang ibu dari Scotland, Victoria Anderson, berkongsi pengalaman bagaimana anak lelakinya, Angus yang berusia tiga tahun hampir meninggal dunia pada bulan Januari selepas meminum minuman yang sama.

Angus pengsan dalam pelukannya sebelum segera dibawa ke hospital.

Beth semakin risau apabila Albie mula melihat perkara yang tidak wujud dan mulai mencakar mukanya, menyebabkannya terpaksa membawa Albie ke hospital.

Setelah pengsan, pasukan perubatan mendapati tahap gula dalam darahnya turun secara mendadak kepada paras yang sangat rendah.

Pada satu tahap, Beth dan pasangannya, Fred Pegg, 24 tahun, amat bimbang bahawa anak mereka mungkin akan meninggal kerana denyutan jantung Albie yang sangat perlahan.

Menurut doktor, jika mereka tidak membawa Albie ke hospital, ia mungkin akan menyebabkan kematian.

Beth menyatakan bahawa kejadian tersebut berlaku selepas waktu sekolah pada Jumaat, ketika dia membawa Albie dan rakan-rakannya untuk bermain boling.

“Dia pernah mengambil ‘slushy’ di sana sebelum ini. Albie memang kerap mengambil minuman itu apabila cuaca panas tetapi bukan secara berterusan, sekadar hidangan ringkas yang bagus untuknya.

“Dia dan rakannya sama-sama minum dan selepas itu dia kelihatan gembira dan teruja. Kira-kira jam 4.15 petang dia mula kelihatan agak letih dan gelisah, kemudian dia tidak mahu bermain lagi.

“Kami hanya fikir dia letih kerana mempunyai minggu panjang di sekolahnya. Bila masuk kereta, dia terus cakap dia penat. Secara fizikal, badannya kelihatan tidak bermaya, kepalanya terus menunduk.

“Kami pergi ke McDonald’s kerana terfikir mungkin dia hanya memerlukan makanan ringkas, namun dia juga tidak mahu menjamah makanannya,” katanya.

Setelah menghantar kawan Albie pulang, Beth dan Fred menyedari bahawa anak mereka mulai menunjukkan tingkah laku yang aneh, seperti menggaru dirinya sendiri dan kelihatan seolah-olah mengalami halusinasi.

“Ia situasi yang sangat pelik. Dia terus menjerit ‘tidak’ dan ‘tinggalkan saya sendiri’ di kerusi belakang kereta dinaikinya. Dia menjerit kemudian berteriak kuat lagi.

“Saya fikir mungkin dia kena jangkitan virus dan rasa gelisah tetapi dia mula mencakar dirinya sendiri dan bertindak tanpa sedar,” katanya.

Pasangan tersebut menghubungi nenek Albie yang kemudian menasihatkan mereka untuk membawa Albie ke unit kecemasan hospital untuk mendapatkan pemeriksaan, kerana keadaannya semakin teruk.

Beth berkata, pada masa itu, dia tidak dapat mengingat sama ada anaknya sedang bernafas atau tidak kerana Albie kelihatan tidak sedarkan diri, walaupun dia cuba mengejutkannya tetapi Albie masih tidak memberikan sebarang tindak balas.

“Mereka membawanya ke bilik rawatan di mana petugas mula memberinya bantuan pernafasan selepas dia kelihatan tidak bernafas sendiri dan degupan jantungnya sangat rendah. Mereka terpaksa mengejutnya.

“Kami tidak tahu apa yang berlaku. Mereka menyangka dia mungkin mengalami sepsis atau jangkitan. Mereka terpaksa cuba segala-gala cara. Mereka juga bertanya kemungkinan sama ada dia mengambil sebarang ubat atau terdedah kepada insulin?.

“Kami diberitahu oleh petugas kesihatan bahawa jika kami membawanya pulang dan bukannya ke hospital, dia akan mati. Ia sesuatu yang sangat menakutkan,” katanya.

Selepas itu, Albie dipindahkan dari Hospital George Eliot di Nuneaton, Warwickshire, ke unit rawatan rapi di Hospital Universiti Coventry & Warwickshire apabila dia terus tidak sedarkan diri.

“Kami tidak tahu keadaan sebenarnya, ia sangat mengerikan. Mereka menyangka dia boleh menghidap diabetes kerana paras gula dalam darahnya sangat rendah,” kata Beth.

Albie telah dirawat di hospital selama tiga hari sebelum keadaannya mula menjadi stabil dan dia dibenarkan pulang ke rumah.

Selepas pemeriksaan lanjut di Hospital Kanak-kanak Birmingham, Beth dan Fred diberitahu bahawa kejadian yang dialami oleh Albie mungkin disebabkan oleh intoleransi gliserol setelah meminum minuman tersebut.

Beth menyatakan bahawa dia terkejut mendapati minuman yang dijual kepada kanak-kanak boleh menyebabkan reaksi buruk sedemikian serta yakin bahawa had umur untuk minuman tersebut seharusnya dinaikkan kepada 10 tahun.

“Kami terkejut. Dia pernah minum ‘slushy’ berkali-kali sebelum ini. Kenapa baru sekarang dia ada reaksi?. Saya marah dengan perkara remeh ini. Saya ibu bapa yang sedar apa yang dimakan anaknya.

“Sebagai ibu bapa, ini sesuatu yang dinikmati setiap kanak-kanak, di mana ia banyak dipasarkan kepada kanak-kanak di taman tema, boling, pawagam. Minuman ini sentiasa ada. Mereka perlu menaikkan had garis panduan. Saya rasa ia tidak patut dijual kepada usia bawah 10 tahun.

“Kami hampir kehilangan nyawa anak kami. Kami tidak pernah mengalami perkara seperti ini sebelum ini, dia sentiasa menjadi anak yang cergas dan sihat,” katanya.

Satu peristiwa sama juga berlaku kepada seorang ibu dari Port Glasgow, Victoria, yang membawa anak bongsunya, Angus yang berusia tiga tahun, dan kakaknya untuk pergi membeli-belah.

Tidak lama selepas mereka keluar bersama, Angus meminta minuman ‘slushy’ berperisa raspberi setelah melihat minuman ais berwarna merah jambu di sebuah kedai.

Tanpa berfikir panjang, Victoria membeli minuman itu untuk anaknya, yang belum pernah mencubanya sebelum ini.

Kira-kira 30 minit kemudian, semasa mereka berada di kedai lain, Angus tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri, menyebabkan Victoria bimbang dan panik akan keselamatannya.

Ibu kepada lima orang anak itu berkata selepas membeli minuman itu, mereka merancang untuk mengunjungi kedai lain sebelum Angus tiba-tiba ingin pulang.

“Saya sangka dia rebah di atas lantai kerana marah, tetapi apabila saya lihat matanya, kelihatan dia mengalami sawan. Dia menjadi lemas. Saya mula menjerit meminta seseorang untuk memanggil ambulans. Saya fikir saya telah kehilangan dia. Badannya juga menjadi sejuk,” katanya.

Victoria menggambarkan bagaimana Angus terasa lemah dan sejuk pada badannya ketika paramedik bergerak cepat ke tempat kejadian untuk membantu anaknya, setelah gula darahnya turun sangat rendah.

Beberapa bulan kemudian, ibu bapanya diberitahu bahawa Albie mengalami ‘intoleransi gliserol’ selepas minum ‘slushy’.

Pada masa yang sama, Agensi Standard Makanan (FSA) mengeluarkan panduan baru kepada industri tentang penggunaan gliserol dalam minuman ‘slushy’ pada Ogos 2023, menasihati agar ia tidak dijual kepada kanak-kanak di bawah umur empat tahun.

Pendedahan yang tinggi terhadap gliserol berlebihan boleh menyebabkan kejutan, hipoglisemia, dan kehilangan kesedaran, menurut agensi kerajaan tersebut.

Baca:

Bakal terbang ke England, tapi keadaan anak tukang cuci ini menyedihkan selepas pengsan

Nilai barang seludup ini dah boleh beli rumah sebuah – 840,000 batang rokok dirampas

Inovasi produk elektrik ALSF buka 5.6 juta peluang pekerjaan