Gagal kawal nafsu punca pokai selepas raya . Ramai yang mengeluh akibat tidak cukup wang perbelanjaan setiap kali selepas musim perayaan.
Ini berlaku sama ada kerana berbelanja secara berlebihan tanpa perancangan teliti atau disebabkan perkara lain tanpa disedari sehingga ada yang ‘ikat perut’ atau ‘pokai’ atau papa kedana selepas musim perayaan.
Berbelanja secara tidak berhemah di musim perayaan menyebabkan ramai yang terpaksa ‘ikat perut’ selepas raya.
Musim perayaan mempunyai auranya tersendiri membuat ramai “terlebih” berbelanja. Kemeriahan suasana, lagu atau muzik yang berkumandang serta orang yang berpusu pusu memilih barangan yang menjadi tawaran menaikkan semangat orang untuk membeli belah. Membeli-belah semasa berlapar juga mengikut kajian membuat seseorang itu berbelanja secara tidak berhemah.
Wanita selalu menjadi mangsa keadaan hiruk-pikuk membeli belah di musim perayaan
Apabila tiada senarai khusus dibuat apa yang perlu dibeli, maka terjadilah keadaan banyak yang mahu dibeli. Contohnya, alas meja makan yang masih boleh dipakai mahu ditukar sebab ‘inikan hari Raya’ kenalah ada suasana istimewa.
Saya juga tergolong dalam kelompok ini, inginkan sesuatu ‘baru’ untuk meraikan Syawal. Bagi saya, jika setakat alas meja atau sikit hiasan bunga sini sana, jika ia tidak membebankan, silakan.
Hanya apabila yang dibeli untuk mendapatkan suasana ‘serba baharu’ itu mahal iaitu barangan mewah, ini akan memburukkan keadaan kewangan anda.
Contohnya mungkin menukar peti televisyen anda kepada yang lebih besar dengan membayar ribuan ringgit atau mahupun secara ansuran. Membeli barangan baharu seperti perabot ruang tamu, kamar tidur secara ansuran juga bukannya perkara yang bijak.
Tindakan ini nampak saja macam tidak membebankan kerana ansurannya rendah tetapi tempoh ansuran serta kadar faedah dikenakan itu yang akan menghakis potensi anda untuk menabung demi masa depan.
Gaji terlalu awal
Minggu pertama bagi penjawat awam dan swasta pada bulan Julai menyebabkan pekerja terpaksa menunggu sehingga enam atau tujuh minggu lagi untuk gaji yang akan datang. Adakah ini juga faktor ramai yang menderita atau terpaksa berjimat selepas musim raya?
Faktor utama ramai yang menderita atau terpaksa berjimat selepas musim perayaan. Wang yang sepatutnya diterima pada hari ke-25 setiap bulan itu jika diberi tiga minggu lebih awal besar kemungkinan tidak akan bertahan lama.
Sedangkan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang ratusan ribu diterima pekerja swasta pun ramai yang menghabiskannya dalam masa tiga tahun, inikan pula wang gaji yang bernilai hanya ribuan ringgit.
Tambahan pula, bersempena dengan sambutan perayaan, bertambah meriah keadaan membeli-belah dan bertambahlah ‘ketirisan’ dalam pengurusan kewangan keluarga. Ramai mungkin akan lupa mengenai ansuran bulanan yang perlu dibuat, malah ‘meminjam’ untuk beraya. Sepatutnya, selamatkan wang gaji yang diterima awal ini sebelum ia ‘diselamatkan’ untuk Hari Raya.
Kenaikan harga barang
Cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta harga petrol juga mempengaruhi perbelanjaan terutama bagi yang berkeluarga. Sejauh mana ia memberi kesan kepada pengguna di musim perayaan?
Budaya tukar langsir baru, set sofa baru, meja makan baru masih menjadi amalan masyarakat di Malaysia
Kehendak mengatasi keperluan. Itu yang menjadi fenomena di Malaysia. Adakah faktor ini juga menjejaskan perbelanjaan keluarga secara keseluruhan?
Budaya cuba mengatasi jiran anda memang wujud di semua masyarakat seluruh dunia. Ia adalah tabiat manusia secara lahiriah. Memang keinginan manusia kepada rumah besar, harta, anak ramai dan seterusnya. Ini terdapat dalam al-Quran, ayat 46 surah Al Kahfi, yang bermaksud: ‘Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal salih yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan”. Jika kita semua ambil iktibar daripada perjuangan nafsu kita di bulan Ramadan, insya-Allah budaya ini sudah harus kita tinggalkan. Janganlah oleh kerana iri melihat jiran punyai perabot serba baharu, kita juga cuba sedaya upaya mengatasinya. Tarbiyah diri kita sendiri sebab yang akan menanggung keperitan hidup selepas membeli sesuatu yang anda tidak mampu adalah diri anda sendiri. Rakyat Malaysia beragama Islam harus sedar sekarang yang kedudukan kewangan dan pemilikan harta kita jauh ketinggalan berbanding kaum lain. Budaya berbelanja berlebihan harus dihentikan untuk kembali kepada ajaran Islam yang mengajar kita bersederhana; Ayat 67, surah Al Furqan: “Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah) yang apabila membelanjakan hartanya, tiadalah melampaui batas dan tiada bakhil kedekut; dan (sebaliknya) perbelanjaan mereka adalah betul sederhana di antara kedua-dua cara (boros dan bakhil) itu.”
Amalan bagi duit raya kepada anak-anak kecil
Amalan ‘duit raya’ sudah mengatasi amalan sedekah di bulan Ramadan seperti dianjurkan dalam Islam. Perubahan ini boleh dilakukan jika secara terancang kita mula memberi ‘sedekah Ramadan’ kepada anak dan saudara-mara kita apabila mereka berkunjung ketika iftar atau berbuka. Mungkin media juga boleh memainkan peranan selain pihak bank yang mengeluarkan paket angpau. Di luar paket boleh dicetak ‘sedekah Ramadan’ berbanding ‘Selamat Hari Raya atau Ramadan Kareem’.
Nilai angpau pula kena ikut kemampuan masing masing. Memang anak-anak akan membanding angpau yang mereka terima daripada pakcik atau makcik mereka, jangan terlalu gusar mengenai perkara ini. Bajet pada awalnya berapa anda mampu beri dan berilah seikhlasnya. Yang penting pemberian pada ibu bapa secara berterusan dan bukan pada bulan perayaan sahaja.
Bagaimana pula dengan amalan rumah terbuka
Keluarga yang berpendapatan kecil dan sederhana mungkin terdorong juga untuk mengadakan rumah terbuka tetapi dalam perancangan kos yang lebih sederhana. Tiada salahnya untuk kita menyediakan hanya satu juadah raya, contohnya seperti menyediakan nasi lemak istimewa untuk tetamu dengan bajet lebih rendah tetapi suasana tetap meriah.
Jika ia dirasakan membebankan, rumah terbuka tidak perlu diadakan tetapi kembali kepada situasi dulu-dulu, yang mana kunjung-mengunjung dibuat tanpa menerima sebarang jemputan rumah terbuka.
Rancang perbelanjaan lebih awal
Dalam keghairahan hendak menyambut hari raya, pasti ramai dalam kalangan masyarakat yang berbelanja secara berlebihan sama ada secara sedar atau tidak. Akibatnya, mereka tidak mempunyai sejumlah pendapatan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan selepas raya atau ‘muflis’ sementara menunggu gaji bulan akan datang.
Jika kita muflis atau ‘pokai’ selepas raya, itu bermakna bajet kita sudah ‘lari’ atau kita mengalami keadaan tidak cukup pendapatan atau wang untuk berbelanja bagi menjalani kehidupan seharian.
Ia bukan bermakna kita tidak ada duit, tetapi kita tidak memiliki sumber kewangan yang mencukupi untuk menyara hidup. Biasanya, pendapatan sebulan yang kita ada itu digunakan untuk membayar hutang atau pinjaman yang tetap seperti hutang rumah, kereta, yuran sekolah anak, bil utiliti dan keperluan lain.
Tetapi apabila kita sudah terlebih belanja kerana hendak menyambut raya, maka wang belanja untuk selepas raya dan bulan akan datang tidak mencukupi.
Dalam hal ini, pengguna atau masyarakat boleh mengelak masalah ‘pokai’ ini daripada berlaku. Setiap tahun, kita akan melalui pengalaman hampir sama untuk menyambut raya, maka kita perlu rancang sumber kewangan kita seperti menabung setiap bulan atau beberapa bulan sebelum raya untuk kegunaan khusus untuk berbelanja menyambut raya.
Jika kita menerima bonus, sebahagiannya boleh disimpan bagi kegunaan lain seperti untuk menyambut raya. Kita perlu rancang kerana jika tidak, inilah beban yang akan ditanggung.
Sudah merancang perbelanjaan tetapi akhirnya tetap menjadi pokai juga. Justeru, bagaimana hendak mengatasi masalah ini?
Caranya ialah dengan memujuk diri kita supaya menimbang segala impak yang mungkin berlaku sebelum berbelanja. Cuba fikir sebelum membeli. Kalau beli, apa yang terjadi. Kalau tidak beli pula, apa yang berlaku.
Kalau hendak beli pula, adakah beli yang mahal atau murah? Jika beli yang murah, kita dapat berjimat. Kalau beli mahal, duit kita akan jadi kurang. Ada kalanya, kita perlu korbankan naluri dan perasaan untuk membeli terutama barang yang mahal.
Tanya pada diri sendiri, apa tujuan kita membeli terutama barang yang mahal?
Adakah kita hendak tunjuk kepada orang lain yang kita mampu beli sedangkan kita tidak mampu. Dalam hal ini, pilihan di tangan kita. Jangan ikut kehendak naluri kerana ia akan menyusutkan jumlah wang kita.
Ia menunjukkan yang kita gagal mengawal nafsu. Secara normalnya, semua orang akan merancang perbelanjaan mereka kerana hendak menyambut raya. Akan tetapi, apa yang berlaku selalunya apabila sampai di kedai, banyak perkara yang mengganggu dan mempengaruhi kita. Oleh itu, janganlah tergesa-gesa jika hendak membeli.
Cuba bersikap tenang, berfikir dengan lama sebelum membuat keputusan. Pertimbangkan dengan teliti kualiti barang yang hendak dibeli dengan harga dijual. Kemudian fikir adakah berbaloi jika dibeli. Ini semua perlu dilakukan agar kita tidak menyesal.
Lazimnya, golongan bagaimana yang berisiko mengalami situasi muflis sementara ini?
Biasanya, orang yang makan gaji dan mempunyai pendapatan tetap bulanan lebih cenderung untuk mengalami situasi ini berbanding orang yang tidak mempunyai gaji tetap. Ini kerana, orang bergaji tetap sudah tahu yang mereka akan menerima gaji setiap bulan.
Cuma yang menjadi masalah apabila majikan atau pihak kerajaan membayar gaji awal. Tahun ini, kakitangan kerajaan menerima gaji awal bulan. Begitu juga pekerja swasta, banyak majikan membayar gaji awal kepada pekerja atas alasan hendak membantu mereka membuat persiapan menyambut raya.
Memang seronok jika dapat gaji awal untuk menyambut raya, tetapi selepas itu, berapa lama pula mereka hendak menunggu gaji bulan hadapan. Mereka terpaksa menunggu selama enam atau tujuh minggu atau di antara 42 hingga 49 hari untuk menerima gaji bulan depan. Sudah tentu ini akan menyebabkan mereka terpaksa berjimat atau ‘ikat perut’.
Apa cadangan kepada golongan yang pokai ini untuk mengharungi kehidupan selepas menyambut raya?
Masalah pokai selepas raya ini boleh dikurangkan jika kita bijak merancang ketika berbelanja atau penggunaan wang secara lestari. Ia bermaksud kita berbelanja sedikit demi sedikit wang yang kita terima setiap bulan itu agar mempunyai perbelanjaan sepanjang masa.
Penggunaan lestari ini bertujuan mengelak perbelanjaan kita terjejas setiap bulan. Saya percaya, kita sebenarnya sudah berpengalaman menghadapi masalah ini. Kita perlu belajar daripada kesilapan lalu. Buat apa kita hendak berbelanja secara berlebihan seperti hendak menunjuk-nunjuk sedangkan orang tahu kita kerja apa, kemampuan dan taraf kehidupan kita.
Orang sudah tahu taraf dan kemampuan kita dengan melihat di mana kita tinggal. Tidak perlulah hendak menipu orang lain dengan jenama barang yang dibeli. Kalau sudah pokai, belanja setakat mana yang ada. Kurangkan kebiasaan makan dan minum di kedai. Kalau boleh jangan belanja menggunakan kad kredit atau meminjam wang dari rakan atau ahli keluarga.