Coca-Cola mengandungi alkohol dan halal diminum? Ini penjelasan JAKIM. Tular Coca-cola mengandungi alkohol, ini penjelasan JAKIM. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini mengesahkan bahawa kesemua produk minuman jenama Coca-Cola sebagai halal diminum umat Islam di negara ini.

Menurut sumber JAKIM seperti dilaporkan Utusan Malaysia, dakwaan yang tular dalam kalangan warganet kononnya minuman ringan bergas itu haram adalah amat tidak berasas.

“Setakat ini, data rekod Hab Halal Jakim menunjukkan kesemua 14 variasi minuman itu masih lagi diperakui halal, malah tarikh luput sijil halal oleh pengeluarnya juga adalah sah,” katanya.

Semalam, pengguna media sosial di negara ini gempar apabila tular hantaran tangkap layar yang menunjukkan produk itu konon mengandungi alkohol sebagai ramuan perisa rahsianya.

Ia memetik keratan akhbar Times News Network di Amerika Syarikat (AS) yang bersumberkan program This American Life disiarkan lebih 500 stesen radio awam negara itu baru-baru ini.

Rancangan bual bicara ini pula merujuk makalah Atlanta Journal-Constitution berdasarkan dokumen rahsia bertulisan tangan resipi asal yang diterbitkan pada 1979 di premis syarikat itu.

Antara ramuan sebelum diproses untuk bahan dengan kod misteri 7X Flavour itu ialah alkohol seberat lapan aun atau 227 gram di samping enam lagi bahan lain ketika dicipta pada 1886.

Mengulas lanjut, sumber Jakim menjelaskan, Coca-Cola Bottlers (Malaysia) Sdn. Bhd. sudah memenuhi segala syarat ketat sebelum ditauliahkan perakuan halal sehingga tempoh 2024.

“Pihak kami tidak pernah berkompromi dalam isu ini, bahkan prosedur ketat kilangnya di Techpark, Bandar Enstek, Negeri Sembilan juga sentiasa dipantau rapi oleh Jakim,” tambahnya.

Produk syarikat itu antaranya meliputi variasi perisa Klasik, Vanila, Ringan, Tanpa Gula, Sirap Berkarbonat Beku, Post Mix Syrup, No Calorie Flavoured Post Mix Syrup dan Original Taste.

Justeru, sumber Jakim meminta umat Islam agar tidak bimbang dengan status halal minuman itu kerana dakwaan ditularkan tersebut sebenarnya pernah dibangkitkan beberapa tahun lalu.

Coca-Cola mengandungi alkohol dan halal diminum? Ini penjelasan JAKIM

Berdasarkan semakan Utusan Malaysia, kadar alkohol dipaparkan itu masih di bawah kadar minimum yang ditetapkan oleh panel Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 2011.

Mesyuarat khas tersebut memutuskan kadar kandungan alkohol untuk minuman ringan bukan produk arak bagi dianggap halal mestilah kurang satu peratus atau paling selamat 0.5 peratus.

Sedangkan jika dinilai berat formula rahsia Coca-Cola yang dibongkarkan media AS itu, kadar alkohol hanya 0.03 peratus daripada berat keseluruhan tong dram 624 liter sebelum diproses.

Coca-Cola atau Coke dicipta oleh seorang jurufarmasi AS, John Stith Pemberton sebelum hak cipta ramuannya dijual kepada ahli perniagaan negara itu, Asa Griggs Candler pada 1888.

Status minuman ini pernah dijelaskan seorang pendakwah tempatan, Syihabudin Ahmad pada 2021 yang turut menafikan pelbagai tohmahan liar konon produk itu anti-Islam atau pro-Israel.

Malahan, beliau merujuk pelbagai fatwa dikeluarkan ramai ulama tersohor di Mesir dan Arab Saudi sendiri yang mengesahkan produk itu halal diminum dan tiada kaitan pun dengan Zionis.

Ia susulan tular propaganda oleh pihak tertentu di negara ini mendakwa tulisan Coca-Cola jika diterbalikkan kononnya menyerupai aksara Arab bermaksud ‘Tidak Muhammad Tidak Mekah’.

Padahal, isu itu pernah diterangkan ramai tokoh Islam di luar negara sebagai bukan pun huruf Arab tetapi lebih kepada persepsi sangkaan sahaja dengan ejaan juga amat tidak sempurna.

Bahkan, syarikat global itu juga ada tiga buah kilang di Palestin selain tujuh pusat pengedaran termasuk di Gaza sebagai tanda solidariti kepada perjuangan penduduknya untuk merdeka.

Baca:

Jangan silap, ini cara pilih ayam segar yang wajib anda tahu

Seminggu beraya, duit raya anak Neelofa cecah RM14,000

Pejuang mula ditubuh di Sabah!

Tonton: