Gerakan dan China Press terciduk, diarah bayar LGE RM500K

Oleh NURAIMAN

Gerakan dan China Press terciduk, diarah bayar LGE RM500K. Drama mahkamah membabitkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, akhirnya menemui noktah apabila Mahkamah Tinggi Pulau Pinang memutuskan bahawa Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong, dan akhbar berbahasa Cina, China Press, bersalah kerana memfitnah beliau.

Dalam keputusan yang diumumkan semalam (lapor Free Malaysia Today), Hakim Kenneth St James mengarahkan Oh membayar ganti rugi am sebanyak RM400,000, kos guaman RM100,000, serta faedah tahunan lima peratus bermula dari tarikh saman difailkan.

Bukan itu sahaja, Oh juga diarahkan membuat permohonan maaf tanpa syarat kepada Lim Guan Eng dalam kedua-dua versi cetak dan dalam talian China Press. Lebih penting, beliau dilarang mengulangi sebarang kenyataan fitnah berkaitan isu tersebut.

China Press pula tidak terlepas. Akhbar popular itu diperintahkan membayar ganti rugi sebanyak RM150,000, kos RM80,000, dan turut dikenakan faedah lima peratus setahun.

Apa Sebenarnya Yang Berlaku?

Segalanya berpunca daripada sidang media Oh Tong Keong pada 25 September 2019, di mana beliau menimbulkan persoalan sama ada Lim membantu syarikat WGW Entertainment Sdn Bhd dan pemiliknya, Hendrik Huang, dalam mendapatkan pengecualian cukai bagi sebuah konsert Mandopop “Fantastic Duo” yang akhirnya dibatalkan.

Oh turut menunjukkan gambar Lim bersama Huang serta surat rasmi daripada Kementerian Pelancongan dalam usahanya menggambarkan seolah-olah wujud hubungan istimewa antara mereka.

Kenyataan kontroversi itu kemudiannya dimuat naik dalam siaran media rasmi Gerakan Pulau Pinang dan diterbitkan oleh China Press — yang membawa kepada tindakan saman.

Hakim: Kenyataan Tidak Berdasarkan Fakta

Menurut Hakim St James, kenyataan Oh walaupun kelihatan seperti satu soalan, sebenarnya bersifat fitnah dan tidak boleh dianggap sebagai komen yang adil.

Malah, kenyataan itu didapati tidak berasaskan fakta, tiada nilai kepentingan awam, dan Oh juga tidak mempunyai tanggungjawab undang-undang atau moral untuk mengeluarkannya.

Bagi pihak China Press, hakim turut menegur kegagalan akhbar itu dalam melaksanakan tanggungjawab kewartawanan. Mereka didapati tidak memeriksa fakta, tidak mendapatkan komen daripada Lim, dan menyiarkan kenyataan tanpa verifikasi, sedangkan sumbernya datang dari pihak lawan politik.

Oleh itu, dakwaan China Press untuk berlindung di bawah prinsip “keistimewaan bersyarat” ditolak oleh mahkamah.

Akan Buat Rayuan?

Dalam laporan terbaharu oleh China Press, mereka menyatakan hasrat untuk merayu keputusan tersebut, manakala Oh Tong Keong pula masih berbincang dengan peguamnya sama ada akan mengemukakan rayuan atau tidak.

Dalam kes ini, Lim Guan Eng diwakili oleh peguam K Simon Murali dan Kok Yuen Lin; manakala Oh diwakili Baljit Singh dan Kernail Singh. China Press pula diwakili oleh Yiew Voon Lee dan Yiew De Xian.

BACA JUGA :

Gerakan tidak setuju dengan Ulama PAS bahawa PAS lebih layak jadi PM

Netizen lancar gerakan report akaun TikTok Donut Berayaq, MCMC pun masuk campur

Ini punca wujudnya gerakan Tabligh di Malaysia ramai tak tahu