Pergerakan semut charlie akan meningkat ketika musim menuai padi, terutamanya apabila cuaca kering.
Mereka tidak menggigit, tetapi cecair berbisa yang mereka tinggalkan boleh menyebabkan radang kronik pada kulit
seperti kemerahan dan gelembung air. Jika terkena, proses penyembuhan boleh mengambil masa beberapa minggu.
Mari kita lihat beberapa langkah pencegahan yang disarankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengelakkan daripada menjadi mangsa semut charlie.
1) Tutup lampu
Semut charlie sering tertarik dengan sumber cahaya yang terang. Oleh itu, apabila hendak tidur malam, tutup lampu di dalam bilik agar semut charlie tidak berada berdekatan dengan anda.
Seterusnya, apabila menjelang senja, tutup pintu dan tingkap kerana semut charlie merupakan serangga yang aktif pada waktu malam.
2) Basuh kawasan kulit yang terkesan
Semut charlie merembeskan cecair berbisa dikenali sebagai Paederin. Sekiranya terkena, segera basuh dengan air dan sabun.
Selain itu apabila anda melihat semut charlie merayap pada badan, jangan pukul atau memenyetnya, cukup sekadar tiup. Jika semut charlie dilenyek, lebih banyak cecair Paederin akan terkeluar.
Jika keadaan kulit yang terkena semut charlie semakin melepuh selepas 12 hingga 36 jam, segera dapatkan rawatan doktor.
3) Penghapusan semut charlie
Sekiranya banyak dilihat kehadiran semut charlie di rumah anda, boleh hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Majlis Daerah Perbandaran untuk tindakan kawalan pencegahan.