Realtime website trackingweb stats

9 cara pilih sofa baru, sesuai dengan seisi rumah ramai salah pilih nampak sempit rumah

Oleh NUR KASIH

Hiasan dalaman lengkap bagi sesebuah rumah bukan hanya bergantung kepada tema, perabot, keluasan atau gaya dalaman yang ingin ditonjolkan.

Penting juga untuk memberi tumpuan keada pemilihan sofa kerana ia merupakan antara perabot di dalam rumah yang digunakan setiap hari.

Tidak kira sama ada anda baru dapat flat BTO atau ingin menggantikan sofa yang sudah lama, pastikan untuk anda membuat pilihan yang menepati konsep kediaman anda.

Selain menumpukan kepada bentuk, corak, jenis dan warna sofa, terdapat pelbagai lagi perkara yang perlu diambil berat sebelum membuat pilihan.

Jika tersalah pilih ia boleh memberi kesan yang besar kepada keselesaan dan kepuasan seisi rumah.

9 cara pilih sofa baru, sesuai dengan seisi rumah ramai salah pilih nampak sempit rumah

Anda juga akan rasa kecewa dan menyesal lebih-lebih lagi jika sudah berhabisan wang beribu dolar untuk membeli sofa yang diidamkan tapi hanya sedar ia tidak sesuai kemudian.

Terdapat pelbagai bentuk dan warna sofa di pasaran. Harganya juga berbeza-beza, bergantung kepada sama ada ia buatan tempatan atau luar negara selain saiz dan bahan yang digunakan – kulit asli, sintetik, fabrik dan sebagainya.

Mengikut bajet dan kemahuan masing-masing, sebagai pembeli anda bukan sahaja perlu bijak memastikan pilihan sofa menepati saiz dan konsep rumah. Ia juga harus berfungsi secara praktikal untuk kegunaan seharian.

Bagi yang mempunyai anak-anak kecil pula, anda harus menitikberatkan soal keselamatan dan pilihlah sofa yang mudah dibersihkan dan lebih lasak agar dapat tahan lebih lama.

9 CARA PILIH SOFA

Terdapat pelbagai jenis sofa di pasaran. Murah tidak semestinya tidak bermutu dan mahal juga tidak semestinya dapat bertahan lama. Sebagai pengguna anda perlu bijak membuat pilihan dan perbelanjaan. Tip-tip berikut pasti dapat membantu.

Saiz

Gara-gara tertarik dengan sofa yang dipamerkan di kedai, ramai antara kita yang terlepas pandang atau tidak mengambil berat tentang saiznya dan akan membeli tanpa mengukur ruang yang ada di rumah.

Tahukah anda, faktor ilusi kedai yang luas akan membuat sofa saiz besar nampak kecil. Oleh itu, sebelum membuat pilihan, penting untuk mengukur ruang atau keluasan yang ada di rumah sebelum membelinya. Anda juga boleh mengukur saiz sofa lama dan bandingkan ukurannya dengan pilihan baharu yang ingin dibeli.

Fungsi

Fungsi yang ada pada sesebuah sofa turut memainkan peranan selain saiz, reka bentuk dan warna. Contohnya, sofa jenis recliner atau yang boleh dibaringkan membolehkan anda untuk rehatkan kaki semasa menonton TV dan melunjur. Selain itu, ada juga sofa yang direka dengan fungsi kompartmen pada bahagian bawah dan terdapat ruang menyimpan barang, yang tidak dapat dilihat.

Fabrik atau kulit

Berpindah ke rumah baru memerlukan pelbagai perbelanjaan, lebih-lebih lagi bagi yang pertama kali memiliki rumah sendiri. Walaupun mempunyai bajet yang ketat ia tidak semestinya anda tidak dapat membeli sofa yang dapat tahan lama atau bermutu.

Bagi yang ingin berjimat, anda boleh dapatkan sofa fabrik yang direka dalam pelbagai jenis warna, reka bentuk dan gaya. Tapi, bagi yang mempunyai bajet yang lebih, anda bolehlah pertimbangkan untuk memiliki sofa kulit yang bermutu tinggi kerana ia dapat bertahan lebih lama dan lasak.

Rona

Sebelum membuat pilihan sofa, pertimbangkan dulu sudut yang ingin anda letakkan di rumah. Ini penting kerana ia dapat mempengaruhi pemilihan warna atau fabrik pada sofa.

Contohnya, jika anda pilih sofa warna terang dan ia sering menjadi tempat untuk keluarga relaks setiap hari, pastinya warna sofa akan cepat berubah kerana ia lasak digunakan seharian. Jika demikian, pilihlah rona yang lebih gelap agar tidak mudah nampak kotor.

Satu lagi, apabila membuat pemilihan, pastikan untuk memilih rona berdasarkan bahan dan warna yang anda suka. Elak daripada ‘ikut-ikut’ trend, sebab walaupun ia cantik ia mungkin tidak menepati konsep atau sudut yang ingin anda letakannya. Memilih sofa yang tepat sangat penting kerana anda akan menggunakannya bertahun lama.

Keselesaan

Oleh kerana terlalu ghairah untuk membeli sofa, ada juga yang sampai terlupa untuk mencuba dulu sofa yang ingin dibeli. Anda mungkin tertarik dengan bentuk, warna fabrik atau kulit sofa hingga tidak menghiraukan keselesaannya. Selepas membelinya, barulah anda dapat rasa sama ada ia selesa atau tidak.

Jika anda seorang yang besar tinggi dan memilih sofa yang tempat duduknya cetek, pastinya ia tidak sesuai untuk jangka panjang walaupun bentuk dan warna sofanya memikat hati. Sebelum membuat pilihan, penting untuk mencubanya dulu. Duduk di atas sofa seperti mana anda akan menggunakannya di rumah dan buat penilaian.

Gaya

Konsep hiasan dalaman rumah memainkan peranan penting ketika anda membuat pemilihan sofa yang ingin dibeli. Contohnya, jangan pula padankan dekor rumah anda yang berkonsep Scandinavia dengan sofa rustik atau Gothic.

Pastinya ia akan kelihatan ‘rojak’ atau aneh melainkan anda seorang yang bijak atau pakar untuk menyatukan pelbagai jenis perabot agar ia tampil unik.

Ciri tambahan

Penting untuk memastikan kaki anda berada pada posisi betul semasa duduk di sofa. Sokongan tambahan sebenarnya memainkan peranan dalam memaksimumkan keselesaan anda.

Contohnya, head support atau sokongan kepala dan leher yang terbaik untuk keselesaan anda dan keluarga dapat ditentukan dengan pemilihan sofa yang tinggi atau rendah selain sandaran tangan lebih tinggi dan lebar untuk sokongan lebih baik.

Kerangka sofa

Sama ada fabrik dan kusyen yang selesa, anda juga perlu memastikan kerangka sofa yang dipilih kukuh agar ia dapat bertahan lama. Ketahanan sofa yang dipilih bergantung kepada pilihan bingkainya dan salah satu cara untuk memastikan jika ia lasak adalah dengan mengangkat satu kaki sofa dan melihat adakah kaki yang lain turut naik secara serentak. Sekiranya dua kaki sofa tidak terangkat secara serentak, itu mungkin petanda terdapat kelemahan pada bingkai sofa.

Mutu dan harga

Apabila membeli sofa, ada juga yang tidak memperdulikan kualitinya dan mudah terpengaruh dengan tawaran harga yang terlampau murah. Walaupun ingin berjimat-cermat, penting juga untuk memastikan sofa pilihan yang bermutu.

Harga yang lebih murah sememangnya akan menjimatkan perbelanjaan, tapi jika ingin sofa dapat bertahan lebih lama, anda haruslah melabur lebih sedikit. Harga yang terlalu murah pasti dapat menjimatkan tapi jika anda lasak menggunakannya, ia mungkin tidak dapat bertahan lama.

PENJAGAAN ASAS SOFA

Makan dan minum

Ramai yang suka duduk atas sofa sambil mengunyah makanan dan menonton TV. Jika anda kerap makan dan minum di atas sofa, ia akan mengundang risiko makanan tertumpah dan meninggalkan kesan pada fabrik atau kulit sofa yang sukar ditanggalkan. Cuba terapkan disiplin untuk makan di meja makan.

Elak cahaya mentari

Tahukah jika sofa kesayangan diletakkan berhampiran jendela dan terdedah pada sinar matahari, ia akan memudahkan proses pelunturan dan menyebabkan pelapik pada sofa menjadi kering. Sebaik-baiknya, letakkan sofa di ruang yang jauh dari cahaya matahari atau tempat lembab untuk elakkan daripada berkulat.

Pembersihan rutin

Usah tangguh untuk membersihkan sofa sehingga tibanya Hari Raya kerana ia akan merosakkan pelapik sofa. Apabila kita duduk atas sofa, berat badan akan menolak habuk ke dalam bahagian sofa.

Jika tabiat ini berterusan, habuk dan debu akan bertindak kasar dan mengikis pelapik hingga menyebabkan bahan menjadi cepat haus. Oleh terapkan rutin untuk bersihkan sofa dua setiap minggu.

Kusyen penyek

Semasa membersihkan kusyen, pastikan juga untuk meluangkan masa untuk mengempukan kusyen. Jika dilakukan dengan kerap ia dapat bantu untuk kekalkan bentuk semulajadi kusyen

Cuba lakukan rutin ini setiap dua hingga tiga hari. Elakkan juga untuk baring lama di atas sofa kerana ia akan menjejas mutu kusyen membuatnya menjadi lembik dan penyek.

BACA: Ramai tak tahu rupanya tak boleh beri daging korban sebagai upah kepada tukang sembelih dan lapah