Tidak lama lagi, kita akan menyambut Hari Raya Korban atau Aidiladha. Banyak umat Islam yang mampu mengambil peluang untuk melaksanakan ibadah korban
kerana ia merupakan amalan sunat muakad yang sangat digalakkan pada Hari Raya Aidiladha.
Dalam melaksanakan ibadah korban, terdapat beberapa syarat dan hukum yang perlu dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat,
Termasuk peserta korban, pengurusan, penyembelih, dan pasukan pelapah.
Namun begitu, masih terdapat sesetengah yang kurang arif mengenai pemberian upah kepada penyembelih dan pelapah korban.
Portal Jabatan Mufti Negeri Selangor telah menjelaskan perkara ini dengan jelas.
Menurut penjelasan yang diberikan, memberikan upah daging korban kepada penyembelih dan pelapah adalah dilarang sama sekali. Larangan ini termaktub dalam hadis-hadis yang sahih.
1) Berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib RA:
Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintahkan kepadaku untuk menguruskan haiwan korbannya dan membahagikan dagingnya, kulitnya serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban.
Dan aku tidak dibenarkan memberikan kepada tukang sembelih apa-apa bahagian daripadanya. Ali berkata: Kami membayar upahnya daripada kos kami sendiri. (Muttafaqun ‘Alaih)
Berdasarkan hadis ini, para sahabat memberi upah kepada penyembelih dengan upah lain yang ditanggung sendiri oleh mereka.
Hal ini menunjukkan larangan mengambil daging atau anggota korban sebagai upah, namun begitu tidak melarang untuk memberi upah kepada penyembelih.
2) Begitu juga yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi bahawa:
Maksudnya: “Penyembelih tidak boleh mengambil upah dari anggota haiwan korban kerana pemberian tersebut dianggap sebagai pertukaran daripada pekerjaannya yang memberi makna menjual sebahagiannya.
Maka demikian ia tidak diharuskan. Dan harus bagi penyembelih diberikan upah atas sembelihan itu dengan yang lain.
Justeru, adalah penting untuk diingat bahawa daging atau anggota haiwan korban tidak boleh dijadikan sebagai upah.
Ini kerana tindakan tersebut akan menjadikan pemberian daging korban itu sebagai transaksi jual beli, sedangkan korban adalah ibadah yang memerlukan penyedekahan dagingnya.
Oleh itu, adalah lebih sesuai dan wajar jika penyembelih atau pelapah diberi upah dalam bentuk wang ringgit. Upah ini sepatutnya ditanggung oleh peserta korban itu sendiri.
BACA: Ini yang jadi pada rumah anda bila tak tutup penapis air ketika bekalan air terganggu