Waris mana yang tidak terkejut apabila kubur yang baru dibina beberapa tahun lalu mahu ‘dialih’ secara tergesa-gesa demi memberi laluan kepada projek bina laluan rel.
Sebahagian waris kubur Tanah Perkuburan Selat Klang, Selangor mendakwa tidak dimaklumkan berhubung pemindahan tapak tanah perkuburan itu.
Mereka turut kecewa apabila tidak dipanggil untuk sesi libat urus dan perbincangan dilakukan bersama keluarga waris dilakukan pihak berwajib bagi memaklumkan penggalian dan pemindahan semula kubur berkenaan.
Rata-rata waris juga membantah kubur berkenaan dialih dan minta laluan rel dapat dilencongkan.
Namun, mereka sedia untuk berbincang dengan pihak berkaitan bagi mencari jalan terbaik untuk penyelesaian.
“Pada 15 April lalu hanya sebahagian dari kami yang menerima jemputan menerusi aplikasi WhatsApp, ia dibuat dengan surat berformat ‘pdf’ tanpa penama kepada waris.
“Ketika menyertai taklimat di Dewan Hamzah Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) pada 21 April lalu pelbagai persoalan ditimbulkan namun pihak penganjur menamatkan sesi terbabit,” katanya, lapor Harian Metro, 30 April.
Menurutnya, pihaknya difahamkan sebanyak 90 kubur di tanah perkuburan berkenaan terbabit dalam penggalian dan pemindahan terbabit.
“Namun, ketika taklimat tidak sampai 30 waris hadir kerana selebihnya tidak dimaklumkan berhubung pemindahan kubur itu.
“Pada 28 April lalu, mereka sudah menutup kawasan kubur dengan zink dan sehingga kini kami tidak menerima sebarang maklumat daripada mana-mana pihak berhubung penggalian semula dan pemindahan kubur,” katanya.
Seorang lagi waris, Hazlina Hasbullah, 48, berkata, seramai 16 waris kubur sudah membuat laporan polis berhubung isu tersebut.
“Lebih kecewa apabila kubur ini masih baru, kebanyakan dikebumikan pada 2022 dan ada yang tidak sampai dua tahun dikebumikan di tanah perkuburan ini.
“Berdasarkan fatwa dikeluarkan Jabatan Mufti Negeri Selangor pada 1986 adalah haram mengalihkan kubur yang jasadnya belum reput, adakah pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tidak merujuk kepada fatwa dikeluarkan,” katanya.
Hazlina berkata, dia tidak menerima notis, surat mahupun panggilan daripada mana-mana pihak bagi melakukan perbincangan mengenai pemindahan kubur berkenaan.
“Saya antara waris yang tidak menerima sebarang pemakluman, kalau kata tidak boleh cari waris, sudah jelas nama saya berada di senarai MBDK sebagai waris kubur itu.
“Kenapa perkara ini perlu dilakukan secara tergesa-gesa tanpa sebarang persetujuan daripada waris?” katanya.
Menurutnya, waris dimaklumkan kerja penggalian dan pemindahan akan dijalankan bermula 1 Mei.
“Bayangkan hanya beberapa hari lagi tetapi waris tidak dimaklumkan, buatlah secara beradab walaupun individu yang di dalam kubur sudah meninggal dunia tetapi mereka ada waris.
“Justeru itu, kami memohon campur tangan Menteri Besar Selangor (Datuk Seri Amirudin Shari) yang sebelum ini berjanji untuk membela nasib rakyat,” tambahnya lagi.
Baca:
”Ia terlalu sejuk” – Ratu cantik berdepan detik ngeri & hilang anggota badan ketika daki Puncak Mera
“Kena faham saya…” – Lakonan Fazura terima kecaman, namun lain pula respon empunya diri
“Ingatkan sinki, rupanya…” – Netizen keliru tengok reka bentuk dapur chef ini