Realtime website trackingweb stats

Biar betul nak guna bom robohkan Stadium Shah Alam, ini penjelasan Menteri Besar

Oleh ARIF ABDULLAH

Pembinaan semula Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) akan melibatkan proses meroboh keseluruhan struktur Stadium Shah Alam yang sedia ada.

Walau bagaimanapun yang menjadi perbualan adalah sama ada kerajaan negeri akan menggunakan bom untuk mempercepatkan proses peruntuhan.

Namun, benarkah kerajaan negeri akan menggunakan peledak atau bom?

Biar betul nak guna bom robohkan Stadium Shah Alam, ini penjelasan Menteri Besar

Bukankah ia akan mengundang risiko terhadap penduduk sekitar?

Merungkai kegusaran ini, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari menafikan perkara tersebut, sebaliknya, proses ini akan dilakukan secara manual.

Beliau menyatakan bahawa kerja tersebut akan bermula setelah pengalihan sub stesen Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Seksyen 13 selesai.

“Ya akan berlaku (merobohkan). Saya akan pastikan segera tetapi kita tidak boleh menggunakan peledak atau bom sebab ia akan memberikan kesan kepada kejiranan di kawasan itu (Seksyen 13).

“Kita akan membuat secara manual dengan menggunakan mesin yang akan mengambil masa panjang sedikit.

“Kerja merobohkan itu akan bermula selepas kita berjaya mengalihkan sub stesen TNB itu kerana ia penting untuk Seksyen 13,” katanya.

Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut selepas menghadiri Majlis Amanat Tahun Baru Menteri Besar Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak, SUK hari ini.

Dia menyatakan bahawa mereka sedang menangani isu sub stesen TNB yang menyediakan tenaga elektrik untuk kawasan Seksyen 13.

“Sekarang kita sedang ubah alirannya, kalau tidak seluruh Seksyen 13 akan bergelap.

“Jadi, kita ambil pertimbangan ini dahulu tambahan kelulusan sudah diberikan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

“Sekarang sedang ‘deal’ dengan TNB untuk alihkannya. Kalau buat (sub stesen) baharu, akan ambil masa lagi setahun, baru boleh robohkan stadium… jadi kita alihkan dulu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Amirudin telah mengesahkan bahawa MBSA telah memberikan kebenaran untuk melaksanakan projek pembangunan KSSA.

Kerajaan negeri telah menghantar pelan Kebenaran Merancang (KM) untuk projek KSSA pada 15 November yang lalu, dengan proses bermula dengan merobohkan Stadium Shah Alam.

Projek pembangunan semula KSSA yang melibatkan kawasan seluas 76.08 hektar dijangka akan siap menjelang tahun 2026.

Baca:

Banyak pula kes kereta baru beli tiba-tiba rosak, ini tips berharga cara pastikan kereta benar-benar baik

Apa yang best sangat ada dalam Menara Merdeka 118? Ini fakta unik dan tempat menarik yang wajib dikunjungi

Tiga negeri dah kena ketukan misteri, sekarang giliran Perlis, mungkin suruh solat tahajud