Realtime website trackingweb stats

Rupanya ada kaitan juga dengan beli kereta, ini 8 tips beli rumah idaman wajib anak muda tahu

Oleh FATIN AQILAH

Ramai anak muda mungkin tidak merasakan pembelian kereta sebagai faktor penting yang mempengaruhi kemampuan untuk memiliki rumah idaman.

Kalau pendapatan bulanan banyak diguna untuk membayar ansuran kereta jenama ‘kayangan’ tidak padan dengan gaji, bila pula dapat membeli rumah yang mampu milik lagi selesa.

Padahal, pembelian rumah pada usia muda lebih baik selain menjadi antara pelaburan berguna untuk jangka masa panjang.

Ansuran bayaran bulanan pun lebih rendah memandangkan pinjaman bank boleh dibuat secara maksimum sehingga 35 tahun.

Ikuti 8 tips yang anak muda wajib tahu sebelum membeli rumah idaman seperti dikongsikan perunding hartanah, Mohammad Al Fawwaz Mohammad Isa ini:

1. Fahami sedalam-dalamnya tentang tujuan ingin membeli hartanah itu.

2. Ketahui dengan mendalam proses jual beli rumah untuk setiap jenis, status pegangan yang berbeza, bekalan dan permintaan di sesuatu kawasan.

3. Ketahui tahap kemampuan kewangan sendiri. Jangan sesekali mengikut nafsu, sebaliknya mengikut kemampuan dan keperluan asas dahulu.

4. Sekiranya maksimum kelayakan pinjaman rumah sehingga RM500,000, elok kecilkan selera dan beli rumah bernilai RM400,000 sahaja.

5. Elakkan pembelian kereta dengan pinjaman maksimum, tetapi fokus untuk membeli rumah pertama.

Katakan anda memperolehi gaji sebanyak RM3,000 sebulan, tolak bayaran bulanan pinjaman kereta sebanyak RM700 sebulan.

Baki sebanyak RM2,300 hanya mampu untuk membeli rumah dengan bayaran bulanan antara RM700 hingga RM1,000 sebulan, atau dengan erti kata lain rumah berharga sekitar RM200,000 sahaja.

6. ‘Rule of thumb’ atau panduan asas untuk membeli rumah adalah dengan membuat sifir mudah iaitu setiap unit hartanah yang bernilai RM100,000 bersamaan dengan RM500 komitmen ansuran bulanan kepada bank.

7. Kenal pasti komitmen lain seperti kereta, bayaran pinjaman pelajaran dan kos sara diri yang harus diambil kira supaya tidak terjerat dalam lembah hutang.

8. Pastikan ada perancangan kewangan selama lima hingga 10 tahun minimum kerana komitmen yang diikat agak lama. Jika sudah terlajak dan membeli rumah dengan ansuran bulanan yang tinggi, hanya ada dua cara penyelesaian:

i) Turunkan taraf: Jual rumah itu dan beli rumah yang lebih kecil (pastikan mampu bertahan sekurang-kurangnya setahun sebelum rumah terjual.

ii) Tambah pendapatan dan kurangkan komitmen bulanan yang lain seperti kereta, pinjaman peribadi, perbelanjaan makan dan barangan dapur. Kebanyakannya akan memilih untuk tambah pendapatan.

 

Baca :

Jerit marah sambil baca teks, cara Ahli Parlimen ini berbahas jadi bualan warganet 

Menteri nak muntah serbu bilik sewa saiz ‘liang lahad’, “memang tiada ciri kemanusiaan” 

MYTV dedah punca gantung operasi Awesome TV bermula 2 November