Realtime website trackingweb stats

Gempar Paris diserang kutu busuk, Perancis sakan bergelut perangi bencana pepijat

Oleh ADINDA

Paris sedang berdepan dengan masalah kesihatan awam yang mencemaskan di negara itu gara-gara ancaman kutu busuk atau pepijat.

Ibu negara Perancis itu gempar diserang pepijat dengan tularnya foto dan video menunjukkan penemuan serangga tersebut merayap di pawagam, kereta api laju, metro Paris dan di Lapangan Terbang Charles De Gaulle.

Hinggakan ungkapan “don’t let the bedbugs bite (jangan biarkan kutu busuk menggigit)” dilihat semakin relevan dengan penduduk Paris kini.

Gelombang panik dan rasa jijik terhadap binatang itu telah merebak ke seluruh negara malah menjadi bahan ejekan kepada isu politik yang menjadi perbalahan serius di Perancis.

“Dalam kereta api berkelajuan tinggi di Perancis, semakin ramai penumpang mengadu tentang pepijat.

“Aduan utama datang dari arah Paris-Lille dan Paris-Nice,” kata pengguna laman X, @Germaarig yang turut berkongsikan klip video yang menunjukkan seekor pepijat sedang merayap dalam pengangkutan awam itu.

Kebanjiran pepijat di banyak lokasi itu berlaku ketika Perancis sedang bergelut dengan penganjuran Piala Dunia Ragbi.

Krisis kutu busuk juga muncul ketika negara itu sedang sibuk bersiap untuk mengalu-alukan atlet serta peminat dari seluruh dunia untuk Sukan Olimpik 2024.

Akibat kehadiran banyak serangga berwarna merah kecoklatan itu, sekolah-sekolah di Perancis pun ada yang ditutup selama beberapa hari untuk kerja pembersihan.

Ketua parti Renaissance pada Perhimpunan Kebangsaan Perancis, Sylvain Maillard, pula berkata, rang undang-undang (RUU) akan dikemukakan pada awal Disember untuk memerangi ‘bencana pepijat’.

Walau bagaimanapun, Menteri Kesihatan, Aurelien Rousseau, menegaskan tidak berlaku ‘panik umum’ terhadap isu itu tetapi mengakui bimbang risiko orang ramai tertipu dengan syarikat yang mengenakan bayaran 2,000 atau 3,000 euro ($2,100 atau $3,100) untuk membersihkan rumah daripada pepijat.

Di Perancis, pepijat sebahagian besarnya hilang daripada kehidupan seharian menjelang 1950-an.

Serangga penghisap darah yang keluar pada waktu malam itu muncul kembali sejak beberapa dekad kebelakangan ini.

Dikatakan, kebanjiran pepijat itu ekoran kepadatan penduduk yang tinggi dan lebih banyak transit penganggkutan awam.

Baca:

Jepun dah catat suhu sangat panas selepas 125 tahun, ini 12 fakta pemanasan global patut kita insafi

Pakar kanak-kanak dedah sisi gelap animasi Cocomelon, rupanya bahaya pada otak anak-anak

Pemuda ucap bye bye kepada hotel ini, dalam ratusan bilik hanya satu bilik ditempah, patutlah murah rupanya…